Harussani enggan dedahkan nama pemimpin Umno, PAS


Oleh Syed Mu’az Syed Putra



KUALA LUMPUR, 23 Julai — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria tetap dengan pendiriannya tidak akan mendedahkan nama pemimpin Umno dan PAS walaupun dakwaan mengatakan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali telah menemuinya untuk membincangkan mengenai kerjasama antara kedua-dua parti Melayu itu Mei lalu.

Harussani ketika dihubungi The Malaysian Insider terkejut dengan laporan yang dikeluarkan oleh sebuah portal mengenai khabar angin itu.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini saya tidak akan sesekali dedahkan nama pemimpin Umno dan PAS yang menemui saya.

“Ia tidak akan keluar daripada mulut saya, biarlah empunyai diri yang mengaku,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sebuah blog iaitu Malaysia Waves yang secara terang-terang mengatakan pemimpin yang dimaksudkan Harussani ialah Hasan.

“Seperti saya kata sebelum ini, ada video yang diambil perjumpaan Harussani dengan Hasan Ali (dan mungkin Khairuddin Othman sekali),” katanya penulisnya Abdul Rahman Talib.

Khairuddin Othman merupakan setiausaha PAS Selangor.

Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai “Tulang Besi” bagaimanapun berkata beliau bersangka baik dan “kemungkinan Hasan cuma mahu berjumpa untuk mendapat maklumat sahaja”.

“Mereka yang mengambil video itu tidak mahu mendedahkan video ini kecuali Hasan Ali sendiri menafikan pertemuan ini,” katanya.

Menurut sumber, pertemuan antara Harussani dan Hasan memang berlaku dan ia diadakan di sebuah hotel di Ampang pada penghujung bulan lalu.

“Ya, pertemuan ini memang berlaku dan mereka (Harussani dan Hasan) membincangkan mengenai cara untuk menyatupadukan Umno dan PAS.

“Pertemuan itu berlangsung selama dua jam dan setahu saya tiada sebarang rakaman video dibuat semasa perbincangan tersebut,” katanya.

Sebelum ini Harussani berkata, terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Namun beliau enggan mendedahkan nama kedua-dua pemimpin tersebut.

Bagaimanapun kenyataan itu ditolak pemimpin tertinggi PAS dengan menyifatkannya sebagai “satu fitnah dan pembohongan.”

Dua naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub menegaskan, pihaknya tidak pernah memutuskan untuk meminta Harussani agar menguruskan pertemuan Umno-PAS bagi membincangkan penyatuan orang Melayu dan Islam.

Awal pagi ini Mahfuz mencabar Harussani agar mendedahkan nama pemimpin parti itu yang didakwa menemui beliau berhubung isu idea perundingan menyatukan Umno-PAS.

“Sekali lagi kami hendak mengatakan yang kami tidak menghantar dan tidak pernah memutuskan perkara ini... tidak, tidak ada orang, tiada keputusan parti.

“Semua pemimpin PAS sedar perkara (pendirian parti) ini, kami yakin mereka tidak akan bekerja bersendirian. Sebab itu saya minta Tan Sri Harussani mendedahkan nama mereka jika benar ada wakil PAS jumpa beliau,” kata Mahfuz.

No comments

Powered by Blogger.