Ibrahim Ali: Perkasa tegas kerana ‘Melayu sudah bangkit’

KUALA LUMPUR, 3 Julai — Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mempertahankan artikel kontroversi bertajuk “Tahan Ka Siong Bawah ISA” terbitan edisi sulung Suara Perkasa, yang muncul di pasaran Khamis lalu, dengan mendakwa mereka tegas kerana “orang Melayu sudah pun bangkit” sekarang.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini berkata, kata-kata menggesa kerajaan menahan pemimpin-pemimpin Melayu sudah lama dikeluarkan oleh bukan Melayu sejak selepas pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

“Kami ada merakamkan banyak kenyataan, rencana, dan ucapan oleh pembangkang, bukan Melayu, blogger dan yang lain. Kini orang Melayu sudah pun bangkit (menuntut hak mereka),” kata Ibrahim (gambar) dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri memanggil editor Suara Perkasa bagi memberi penjelasan berhubung artikel bertajuk “Tahan Ka Siong Bawah ISA”.

Pertemuan hampir sejam tersebut bermula pukul 5 petang dan dihadiri Editor Suara Perkasa Amirudin Mohamad, Pemangku Timbalan Ketua Setiausaha Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi dan Setiausaha Bahagian Penerbitan, Teks & Al-Quran Datuk Zaitun Abd Samad.

Suara Perkasa akan dipanggil sekali lagi pada Isnin ini.

Dalam komennya semalam Ibrahim berkata, beliau sanggup untuk ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) — buat kali ketiga — jika didapati menjadi mudarat kepada keselamatan negara.

Sehubungan itu dalam kenyataan hari ini Ibrahim menegaskan, Perkasa bertindak tegas dalam isu semasa berdasarkan pengalaman-pengalaman pihaknya sepanjang dua tahun lalu.

“Seorang perwakilan MCA dari Perak pernah meminta kerajaan agar menahan (Ketua Pemuda Umno sekarang) Khairy Jamaluddin di bawah ISA, pada Oktober 2008.

“Seorang pemimpin Wanita Gerakan juga pernah menggesa agar (bekas Ketua Umno Bukit Bendera ketika itu), Datuk Ahmad Ismail juga ditahan di bawah ISA. Ada aduan polis dibuat di Bagan Serai minta Datuk Nasir Safar (bekas pegawai khas Perdana Menteri) ditahan di bawah ISA.

“Banyak kenyataan dibuat menyinggung orang Melayu sebelum ini... malah, (Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr) Wee Ka Siong sendiri pernah mengecam Kongres Ekonomi Bumiputera dianjurkan oleh MPM (baru-baru ini),” katanya lagi.

Ibrahim menyenaraikan kes-kes lain termasuk serangan terhadap ucapan Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar yang memetik ucapan sejarah beberapa hari sebelum pilihan raya kecil Hulu Selangor manakala Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein dikritik kerana sekadar mencium keris dan tidak “menikam sesiapa pun.”

Ibrahim dilihat lantang bersuara dengan ada yang mengelarkannya sebagai “ultra Melayu” dan bertindak sedemikian sejak menubuhkan Perkasa akhir 2008.

Perkasa mengeluarkan akhbar Suara Perkasa, yang dijual RM2 senakhah bermula kelmarin.

MI

No comments

Powered by Blogger.