Jangan Mimpi Umno Untuk Jerat PAS Kali Kedua

Oleh Nash Ar-Rawy

Politik terdesak Umno yang kini dipamerkan oleh parti itu adalah disebabkan buat kali kedua ia telah gagal untuk memancing PAS untuk menyertainya dalam kerangka kerajaan perpaduan atau dikenali dengan UG (unity government).

Tindakan Umno untuk mencapai cita-citanya itu telah menyebabkan pertikaian dan konflik antara pimpinan tertinggi PAS pada satu ketika dahulu.

Motif Umno adalah untuk mewujudkan rasa tidak percaya pengundi Cina dan India terhadap PAS.

Bagaimanapun, rencana Umno ini tidak berjaya sama sekali dan sebaliknya semakin hari PAS bertambah kuat dan kukuh walaupun diasak dengan propoganda dan serangan Umno.

Cubaan terbaru Umno adalah dengan menggunakan pihak ketiga untuk meyakinkan PAS bekerjasama di segi politik dengan parti itu. Umno dilihat telah membuat kesilapan besar dengan beranggapan bahawa pendirian PAS sama dengan Umno dalam konteks prinsip, dasar, ideologi, dan pendekatan.

Umno ialah parti perkauman walhal PAS ialah parti Islam yang berteraskan prinsip sejagat. PAS telah membuktikan kesejagatan dan landasan Islam dengan melibatkan golongan bukan Islam tidak kira kaum untuk menjadi ahli di dalam sayap terbaru parti itu yang dikenali sebagai Dewan Perhimpunan Penyokong PAS.

Dewan tersebut bertindak dalam kerangka perlembagaan PAS dan ia berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Dewan Ulama, Muslimah dan Pemuda.

DHPP mempunyai kira-kira 20,000 ahli dan wakil di setiap cawangan, kawasan dan negeri dalam hierarki kepimpinan PAS.

Sebagai sebuah parti perkauman dan nasionalis, Umno tidak boleh menerima dan bertoleransi terhadap fenomena ini yang pernah dahulu diwar-warkan oleh bekas Timbalan Presiden PAS, Almarhum Prof Dr Zulkifli Mohamad semasa parti itu dipimpin oleh Almarhum Prof Dr Burhanuddin al Helmi. Alhamdulillah, wawasan beliau kini sudah tercapai.

Dalam perlembagaan Umno, parti itu tidak boleh menerima keahlian bukan Melayu seperti yang dilakukan oleh PAS yang mewujudkan sayap berasingan. Justeru itu, PAS dituduh sebagai pembelot kepada bangsa Melayu dan dilabelkan sebagai pelampau atau sesat.

Walau bagaimanapun, Umno tidak mampu membuktikan tuduhan mereka dalam ruang debat terbuka dengan PAS. Sebagai parti yang terdesak, Umno meletakkan harapannya kepada pihak ketiga supaya PAS bergabung dengannya.

PAS diibaratkan gadis sunti yang paling cantik di dunia yang cuba dipisahkan daripada kekasihnya Pakatan Rakyat.

Adalah amat penting bagi Umno agar PAS terus hidup kerana parti Islam itu sajalah sumber kekuatan yang mampu mengembalikan 'nyawa' kepada Umno.

Namun kepimpinan PAS tidak berganjak mahupun Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang memegang jawatan paling tinggi dalam parti ataupun Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Pendirian parti itu juga ditegaskan semasa Muktamar PAS di Ipoh, Perak dan juga Kelantan yang mahu terus bersama Pakatan Rakyat dalam perjuangan menyelamatkan Malaysia dan mewujudkan negara berkebajikan bersama KEADILAN, DAP dan SNAP.

Kelantan dilihat sebagai model paling jelas yang telah diiktiraf oleh Transparency International sebagai mempunyai indeks korupsi nol (Zero Corruption). Jadi, slogan 'Keadilan untuk semua' sememangnya mampu direalisasikan secara praktikal.

Sentimen perkauman Umno telah membuka mata rakyat bahawa parti itu hanya memainkan peranan bagi kepentingan kroninya. Atas nama Bumiputera dan Melayu, Umno telah menipu bangsa itu selama lebih 50 tahun.

Apa terjadi kepada RM52 bilion yang diperuntukkan sebagai saham Bumiputera-hilang entah kemana bersama-sama dengan kroni. RM1 bilion dana rakyat juga hilang dalam projek Bakun dan yang terkini, kedudukan rizab tunai Felda yang merudum lebih RM2 bilion hasil titik peluh golongan peneroka yang miskin.

Tidak ada orang Melayu yang berfikiran rasional dan tidak gila akan mempercayai Umno lagi. Bukan hanya setakat PAS, tetapi keseluruhan bangsa Melayu yang menjadi teras kelas pengundi di negara ini kini berubah menyokong Pakatan Rakyat.

Di kebanyakan kawasan mengundi majoriti Melayu, Umno akan kalah kepada Pakatan Rakyat, iaitu PAS seperti yang dilihat di Kelantan dan Kedah, dan sasaran PAS seterusnya ialah Terengganu dan Perlis.

Bagi kawasan mengundi yang mempunyai 65 peratus pengundi Melayu, Umno-BN dijagka akan kalah kepada Pakatan Rakyat di Selangor, Perak dan juga di Pulau Pinang kerana pengundi Cina di kawasan terbabit sudah muak dan menyampah dengan Umno-BN.

Pakatan Rakyat juga mensasarkan Pahang, Negeri Sembilan dan sebahagian besar kerusi di Johor dan Melaka.

Bagaimanapun permata impian Pakatan Rakyat ialah Sabah dan Sarawak. Sibu telah menjadi pencetus kepada impian ini. Ini bermakna tidak ada lagi negeri yang boleh dianggap oleh Umno-BN sebagai terjamin atau 'simpanan tetap' parti itu.

Ini merupakan satu fenomena yang menakutkan yang tidak pernah difikirkan oleh Umno-BN.

Oleh kerana itulah Umno sangat-sangat berharap untuk menggoda 'gadis sunti' bernama PAS walaupun satu ketika dahulu di tahun 1970-an BN telah menendang PAS keluar daripada gagasan itu dan melabel parti itu sebagai sesat dan pengkhianat.

Perlu diingatkan, pimpinan tertinggi KEADILAN, PAS dan DAP telah menegaskan berulangkali untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dengan Islam sebagai agama Persekutuan dan hak keistimewaan Bumiputera dan pada masa yang sama menghormati hak dan kepercayaan bangsa-bangsa lain.

Tetapi Umno melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah mengkhianati Bumiputera dan menafikan undang-undang Hudud yang hanya diaplikasi kepada orang Islam. Umnolah sebenarnya pengkhianat yang telah menyesatkan umat Islam dan Bumiputera.

Kini kubu kekuasaan Umno hanya disokong oleh pengundi Melayu di kawasan luar bandar, Orang Asal, peneroka Felda dan pengundi pos. Kelas pertengahan dan pengundi Melayu yang berpendidikan tidak lagi menyokong Umno dan mengubah sokongan kepada Pakatan Rakyat yang dilihat sebagai pilihan terbaik dan diyakini untuk mewujukkan Malaysia baru.

Rakyat Malaysia tidak mahu lagi sentimen yang berbaur perkauman seperti yang diperjuangkan oleh Perkasa atau Perkasa Cina mahupun Perkasa India. Rakyat Malaysia pasca kemerdekaan adalah lebih terdidik dan bertamadun, dan mahukan 'Keadilan untuk semua' yang selari dengan 'Islam untuk semua' yang menjadi landasan perjuangan PAS di dalam Pakatan Rakyat.

KEADILAN, PAS, DAP dan SNAP yang bersama-sama dalam Pakatan Rakyat adalan platform terbaik politik dan sosial untuk melaksanakan keadilan yang bersifat sejagat yang tidak berpaksikan kepada perkauman sebagaimana diamalkan oleh Umno-BN. Sistem dua parti akan muncul lebih teguh dan mantap selepas PRU ke-13 nanti apabila Pakatan Rakyat mengambil alih dan menumbangkan Umno-BN di Putrajaya dan juga di Parlimen.

Ini adalah mimpi ngeri untuk Umno dan PAS kini tidak peduli langsung apa yang akan terjadi kepada parti perkauman itu. Kerjasama politik PAS dengan rakan-rakan KEADILAN, DAP dan SNAP dalam Pakatan Rakyat adalah muktamad, sejajar dengan aspirasi dan keyakinan rakyat.

Jadi, untuk menyelamatkan diri, lebih baik pengikut Umno menyertai PAS atau KEADILAN atau DAP daripada terus dipergunakan oleh kroni dan pengkhianat Umno demi menyelamatkan Malaysia. Ambil keputusan dan tinggalkan pemimpin Umno dalam kegilaan mereka tanpa pengikut.

Lagipun Umno-BN umpama kapal yang sedang karam, bercakaran sesama sendiri. Subsidi untuk rakyat dipotong, disebabkan skandal rasuah demi skandal rasuah dibawah pentadbiran Umno-BN yang memperlihatkan salah urus tadbir, rasuah, penyelewengan, mengkhianati amanah rakyat dan salah guna kuasa daripada skandal BMF, Perwaja Steel, PKFZ, Felda dan entah apa lagi.

Model Ekonomi Baru hanyalah tiruan Dasar Ekonomi Baru yang mempunyai punca dan amalan yang sama. Vincent Tan sebagai taukeh judi masih bersekongkol dengan burung-burung bangkai dalam MEB bersama Mukhriz dan 'Anaconda' Krishnan. Inilah wajah Umno-BN yang sebenarnya.

Selamat tinggal Umno-BN dan selamat datang kepada Pakatan Rakyat. Najib dan Muhyiddin seharusnya menghadapi realiti politik siber Malaysia dan bersiap-siap untuk menjadi pemimpin pembangkang dalam masa terdekat setelah wujudnya sistem dua parti selepas PRU ke-13 nanti.

Roda kehidupan kini berpusing untuk Pakatan Rakyat.

No comments

Powered by Blogger.