Juara Piala Dunia: Antara nujum sotong kurita dan burung kakak tua

Oleh G. Manimaran dan Zurairi AR

KUALA LUMPUR, 9 Julai — Selepas meramalkan Jerman akan diketepikan di separuh akhir dan ia pun menjadi kenyataan, sotong kurita akan memilih antara Sepanyol dan Belanda yang dijadual bertarung pada final kejohanan Piala Dunia 2010 di bumi Afrika Selatan awal pagi (waktu Malaysia).

Sotong ini juga dijangka meramalkan pemenang pertemuan tempat ketiga dalam perlawanan antara Jerman dan Uruguay.

Kemungkinan ramalan tempat ketiga mungkin boleh mengubati perasaan peminat-peminat Jerman kelak.

Sotong kurita yang dikenali sebagai “Paul” dengan berjaya telah meramalkan kemenangan enam Jerman pada kejohanan kali ini selepas meneka dengan tepat empat daripada lima pertemuan Juara Eropah dua tahun lalu.

Tidak siapa yang tahu bagaimana sotong Paul melakukannya.

Peminat-peminat Jerman sehingga ke hari ini tidak dapat menerima kekalahan pasukan mereka di tangan Sepanyol dan juga ramalan sotong kurita ini. Sehingga ada yang marah dan mahu sotong ini ‘dihukum’ bunuh.

Akhbar-akhbar Jerman dan portal berita mengesyorkan agar Paul dimasak dan dimakan. “Masukkan ke dalam dulang masak,” tulis akhbar Berliner Kurier.

Ekoran tekanan dan perasaan marah itu, Perdana Menteri Sepanyol Jose Luiz Rodriquez Zapatero berkata: “Saya risau dengan keadaan sotong kurita ini... saya memikirkan untuk menghantar pasukan perlindungan ke sana (Jerman).”

Pemilik akuarium dalam usaha tidak mahu orang ramai meletakkan harapan tinggi berkata, Paul sebenarnya merupakan “pakar Jerman” dan “tiada kuasa ajaib” bila tiba giliran dua negara yang lain.

Adakah hanya sotong ini sahaja yang mampu membuat ramalan? Jawapannya tidak!

Jurucakap satu lagi haiwan yang semakin popular di kalangan peminat bola sepak - burung kakak tua di Singapura yang bernama “Mani” - yang telah bertindak sebagai pak nujum sejak beberapa tahun ini yakin dengan keupayaan burung peliharaannya itu.

Bercakap kepada Reuters yang melawat daerah Little India di Singapura semalam untuk merakamkan ramalan Mani tentang bakal juara final kali ini, jurucakap burung kakak tua itu berkata, “saya percaya seratus peratus, apa sahaja yang dia pilih akan tepat akhirnya.”

Mani, yang biasanya menujum nasib soal cinta dan kewangan pelanggan-pelangannya, memilih satu kad yang mempunyai bendera Belanda.

Bertolak dari itu, jika dibandingkan dengan kebingitan vuvuzela, sepakan bola yang kurang memuaskan dan pasukan tidak menyerlah, bintang sebenar pada Piala Dunia 2010 sudah tentulah Paul ini.

Paul telah menilik dengan tepat segala perlawanan pasukan Jerman setakat ini, termasuk kekalahan mereka kepada Serbia dan Sepanyol.

Mengikut pemiliknya, Paul akan meramal pemenang Piala Dunia FIFA 2010 esok (waktu Malaysia) jika sotong itu sudah hilang penat.

Sotong berusia dua tahun ini merupakan penghuni tetap Oberhausen Sea Life Aquarium di Jerman, dan “meramal” keputusan perlawanan-perlawanan dengan memilih salah satu kotak lutsinar yang ditampal bendera pasukan-pasukan yang bertanding.

Kedua-dua kotak tersebut disusun mengikut susunan bendera FIFA dan diisi dengan makanannya seperti isi kupang atau tiram.

Sejak meramalkan kekalahan Jerman di tangan Sepanyol pada peringkat separuh akhir, Paul telah menerima pelbagai ugutan bunuh dari rakyat Jerman.

Beberapa pakar bola sepak dan agensi judi juga meraih untung setelah mengikuti kata putus Paul sementara pertubuhan hak haiwan People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) pula menggesa agar Paul dibebaskan dari ‘penjaranya’.

Paul bukanlah haiwan pertama yang mampu menilik nasib dan membaca fikiran. Pada tahun 1927, seekor kuda bernama Lady Wonder di Virgina, Amerika Syarikat dikatakan mempunyai kuasa psikik dan persepsi luar biasa (ESP) yang ditonjolkan melalui kebolehannya menyusun bongkah-bongkah huruf.

Hanya dengan membayar satu dolar, anda boleh menanyakan kuda tersebut tiga soalan. Lebih 150,000 orang telah mendapatkan perkhidmatan tukang tilik kuda tersebut. Ia juga kononnya berjaya meramal keputusan satu pertandingan tinju, kedudukan minyak di bawah tanah dan menyelesaikan satu kes kehilangan.

Seekor lagi kuda di Jerman pada 1900, Clever Hans, boleh menyelesaikan masalah-masalah intelek seperti pengiraan. Hans juga berbakat mengira masa, memilih nota muzik dan memahami bahasa Jerman.

Pada era 1980-an, seekor anjing dipanggil Harass II dikatakan mempunyai kuasa psikik dan mampu mengesan jejak dan bau walaupun setelah beberapa bulan atau tahun berlalu. Anjing itu juga mampu mengesan jejak dalam air dan selepas taufan melanda.

Sejarah manusia selama ribuan tahun penuh dengan contoh manusia yang bergantung kepada haiwan-haiwan untuk meramal nasib. Kaum Etruscan di Itali 2,400 tahun dahulu mengamalkan ‘alectryomancy’, penilikan dengan memerhatikan ayam-ayam mematuk bijirin.

Rakyat Roman silam pula mengamalkan ramalan dengan memerhatikan burung-burung terbang - mereka memerhatikan bilangan burung, bunyi mereka, haluan terbang dan sebagainya. Sekumpulan alim ulama dipertanggungjawabkan untuk mentafsir mesej-mesej tersebut.

Ramalan dari pemerhatian haiwan ini juga ada melibatkan kucing, kuda, ikan, labah-labah dan ular.

Kini, telah dibuktikan bahawa Lady Wonder, Clever Hans dan Harass II secara tidak langsung atau tanpa sedar menerima petunjuk dari pemilik mereka. Fenomena ini diberi nama “Kesan Clever Hans” dan merupakan satu cara untuk menyangkal pelbagai haiwan peliharaan yang kononnya “bijak” atau “berbakat”.

Setakat ini, tiada bukti bahawa Paul menerima petunjuk sama ada daripada pelatihnya Oliver Walenciak atau para peminat Jerman yang meletakkan harapan. Walaupun Paul telah meramal 11 daripada 12 perlawanan dengan tepat, sotong itu telah memilih Jerman sembilan kali. Memandangkan Jerman merupakan pasukan pilihan bagi sembilam perlawanan tersebut, peluang bagi Paul untuk memilih dengan tepat tentulah tinggi.

Paul adalah seekor sotong kurita spesies Octopus vulgaris yang buta warna, dan beberapa saintis berpendapat ia akan lebih kerap memilih bendera yang berjalur warna terang seperti Jerman dan Sepanyol berbanding England dan Argentina.

Spesies ini selalunya dijumpai serata dunia di lautan cetek tropika dan separa tropika. Ia mampu membesar sehingga 25 sentimeter dengan sesungut sepanjang satu meter.

Sotong kurita juga haiwan yang sangat bijak dan responsif. Mereka pernah dilihat membuka tutup botol dan menggunakan pelbagai alatan.

sama ada Paul sebenarnya mempunyai kebolehan luar biasa atau ia sangat bertuah, para pemiliknya patut memanfaatkan kemasyhurannya secepat mungkin.

Jika nasib Paul bukan berakhir sebagai hidangan rakyat Jerman, Paul semakin menghampiri akhir hayatnya - jangka masa hidup spesiesnya cumalah dua tahun.

Buat masa ini, nama Paul bukan sahaja telah tercatat dalam minda peminat-peminat Piala Dunia, malah Paul juga mempunyai dua akaun Twitter.

No comments

Powered by Blogger.