Kementerian Pelajaran Sekat Pakatan Rakyat Tapi Benar Umno Guna Premis Sekolah

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM 11 Julai - Kementerian Pelajaran dibidas kerana mengamalkan sikap hipokrit dengan membenarkan Umno menggunakan premis dan kemudahan sekolah untuk tujuan perjumpaan politik walaupun telah dikeluarkan larangan bertulis daripada kementerian.

Insiden terbaru membabitkan Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Rahimah (Samtar), Sg Manggis di mana Umno menggunakan dewan sekolah tersebut untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan Pemuda dan Wanita Umno Bahagian pada 3 dan 4 Julai lalu.

Menurut Setiausaha PAS Kawasan Kuala Langat, Hasnul Baharuddin pihaknya telah menyuarakan bantahan terhadap tindak tersebut walaupun Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan arahan bertulis dan lisan melarang kawasan dan bangunan sekolah digunakan untuk menganjurkan dan terlibat dengan aktiviti berunsurkan politik, terutamanya kepada Pakatan Rakyat.

"Pakatan Rakyat Kuala Langat membantah keras kebiadapan Umno menggunakan sekolah untuk bermesyuarat agung. Kita telah menghantar bantahan kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Selangor untuk memohon penjelasan bagaimana ini boleh dibenarkan dan dan tindakan susulan diambil.

"Namun, kerana tekanan politik Umno Bahagian Kuala Langat, Pengetua Samtar telah membenarkan mesyuarat Umno diteruskan, sedangkan pada masa yang sama sepatutnya mengadakan bengkel Matematik untuk pelajar Tingkatan Lima di dewan berkenaan," tegas Hasnul yang juga Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat Kuala Langat pada sidang media baru-baru ini.

Ketika dihubungi Suara Keadilan, beliau menegaskan walaupun jika pihak berkuasa seperti Pejabat Pelajaran Daerah dan JPN tidak mengambil tindakan, tetapi dengan bantahan ini Umno akan lebih berhati-hati dimasa hadapan agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.

"Pengetua tahu, pihak sekolah juga tahu tetapi atas desakan ahli PIBG yang dipercayai ahli Umno, mereka mengadakan juga mesyuarat mengengkari arahan lisan dan bertulis yang telah diberikan kepada sekolah untuk tidak membenarkan apa-apa aktiviti berunsurkan politik," kata Hasnul.

Jelas beliau, pihak PPD Kuala Langat juga tidak berani bertindak dan sikap ini dilihat sebagai mengamalkan dwi kepentingan terhadap isu ini.

"PPD sering menghalang aktiviti yang baik untuk pelajar sekiranya ianya dianjurkan oleh pihak yang diketahui atau disyaki berpihak kepada kerajaan Pakatan Selangor. Contohnya program 'Jom Masuk Universiti' oleh Majlis Daerah Kuala Langat baru-baru ini," tambah Hasnul lagi.

No comments

Powered by Blogger.