Kementerian Pertahanan Disaran Guna Kepakaran Tempatan Membina Frigat Baru

Oleh Rusnizam Mahat

SHAH ALAM 13 Julai - Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh meminta Kementerian Pertahanan supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyebabkan timbul keraguan terhadap pembelian senjata dan kelengkapan ketenteraan negara.

Beliau berkata demikian ketika mengulas jawapan Kementerian Pertahanan berhubung pendirian kerajaan terhadap pelaksanaan projek Kapal Peronda Generasi Baru (NGPV) atau frigat “ FFG 112” yang dicadangkan oleh syarikat tempatan, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

Dalam jawapan di parlimen 8 Jun lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kerajaan tidak pernah menerima sebarang cadangan projek frigat dari syarikat berkenaan dan menyenaraikannya dalam perolehan Rancangan Malaysia Ke-10.

Bagaimanapun, Gwo-Burne mempersoalkan jawapan tersebut memandangkan setakat ini negara hanya memiliki dua kapal frigat yang tidak lagi berfungsi dengan baik.

"Walaupun TLDM mempunyai dua buah Kasturi-class corvette dan empat Laksamana-class corvette, tapi kapal-kapal tersebut tidak setimpaldengan frigat sebenar.

"Lagipun, dua Kasturi corvette yang dinyatakan itu telah mencecah umur matang dan tidak mampu berfungsi dengan sepenuhnya. Kasturi corvette kini sedang di dalam projek 'Ship Life Extension Programme' dan tidak dapat beroperasi dalam jangka masa beberapa tahun ini.

"Oleh itu, saya berharap agar pihak Kementerian Pertahanan lebih berhati-hati dan bertindak tegas dengan sebarang kenyataan yang melibatkan kementerian terutama sekali dalam pembelian peralatan perang," kata Gwo-Burne.

Katanya, pada 2006, kerajaan telah memberi surat niat (letter of intent) kepada British BAE System untuk membina dua kapal frigat baru bernilai RM5 bilion.

Bagaimanapun oleh kerana kekangan ekonomi negara, projek itu telah ditunda dan surat niat itu juga sudah luput.

Menurut Gwo-Burne lagi, sekiranya benar frigat perlu dibina, adalah lebih baik kerajaan menerima kepakaran daripada syarikat tempatan berbanding membeli dari luar negara.

Beliau berkata, kebimbangan yang timbul mengenai perkara itu ialah keperluan membina frigat baru memandangkan frigat sedia ada dikatakan tidak lagi berfungsi dengan baik.

Beliau juga melahirkan kebimbangan sekiranya Kementerian Pertahanan melantik syarikat luar negara bagi membina frigat berkenaan kelak yang akan meningkatkan lagi kos seperti mana kontroversi yang timbul berhubung pembelian peralatan ketenteraan seperti kapal selam, jet pejuang dan sebagainya.

Katanya, Kementerian Pertahanan juga tidak menafikan keperluan untuk mendapatkan kapal baru tetapi hanya menyatakan frigat yang sedia ada boleh ditingkatkan dan berkeupayaan menyamai frigat untuk menangani peperangan 3 dimensi iaitu permukaan, udara dan bawah permukaan.

No comments

Powered by Blogger.