“Kerajaan pusat sabotaj” Mat Suhaimi

KUALA LANGAT, 24 JULAI 2010 – Pembantu Exco Pengurusan Sumber Alam Selangor, Mat Suhaimi Shafie membidas tindakan Kerajaan Persekutuan kerana memansuhkan kuasa penguatkuasa dari Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) serta Jabatan Galian dan Tanah (PTG) dalam membendung pencurian bahan batuan di Selangor.

Dengan menyifatkannya sebagai sabotaj, keadaan ini menyukarkan kerajaan negeri membendung aktiviti pengeluaran pasir secara haram yang turut menjejaskan alam sekitar di samping kerugian daripada kutipan royalti hasil mineral terbabit.

Mat Suhaimi berkata, “Mulai November 2008, ada satu akta baharu yang diluluskan di peringkat Persekutuan, kuasa untuk menahan kesemua orang yang mencuri ataupun yang disyaki mencuri pasir ini, kuasa itu tidak ada lagi kepada pegawai penguatkuasa, ini saya nak terangkan adalah salah satu sabotaj terbesar yang dilakukan oleh kerajaan pusat”.

Katanya penahanan hanya boleh dibuat ketika operasi bersepadu yang melibatkan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilakukan.

Beliau menegaskan kaedah yang diguna pakai kerajaan pusat sengaja dirancang sedemikian bagi menggagalkan penguatkuasaan pencurian pasir khususnya di Selangor.

“Sejak November 2008, perkara ini agak sukar nak dibuat, kerana kalau nak disaman mereka yang bawa lori-lori pasir yang berisi bahan-bahan pasir ini, mereka perlu rujuk dulu ke pejabat Penasihat Undang-undang, balik dulu, buat laporan, tengok penasihat undang-undang bagi nasihat saman ke tidak”.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat dan lawatan bersama media ke tapak lombong pasir KSSB di Tanjung 12, Kampung Olak Lempit siang tadi.

Sementara itu, Suhaimi turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian lombong pasir persendirian antara KSSB dengan syarikat Marita Sendirian Berhad di Mukim Labu, Sepang dan syarikat First Reap Sendirian Berhad di Tanjung 12, Kuala Langat dengan keluasan tanah masing-masing 50 ekar.

Tamat.

No comments

Powered by Blogger.