Kes Amirulrasyid: MP Shah Alam ulangi desakan polis minta maaf

SHAH ALAM, 23 Julai —Walaupun empat bulan sudah berlalu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mengulangi pendiriannya agar polis memohon maaf kepada keluarga Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati ditembak polis dekat rumahnya di sini.

“Saya sekali lagi meminta agar polis, Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri meminta maaf kepada keluarga kerana sehingga sekarang tiada apa-apa tindakan di pihak polis... tiada yang meminta maaf,” kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Remaja itu mati akibat terkena tembakan anggota peronda polis, namun permintaan itu enggan dilayan oleh pihak berkuasa itu.

Pertengahan Mei lalu, keluarga meminta Kementerian Dalam Negeri dan polis memohon maaf kepada mereka, terutama ibu mangsa atas kejadian itu.

Bapa saudara Aminulrasyid, Kamaruddin Hassan berkata walaupun mereka berterima kasih kerana anggota polis peronda terbabit didakwa, keluarga mangsa mahu Kementerian Dalam Negeri dan Musa mencontohi Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, yang meminta maaf kepada remaja berusia 17 tahun, Mohd Azizi Aziz, yang cedera di perut ditembak polis apabila enggan memberhentikan motosikalnya.

Keluarga Aminulrasyid juga masih menuntut supaya suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan bagi menyiasat kejadian berkenaan supaya perkara sama tidak berlaku kepada keluarga lain dan kematian Aminulrasyid terbela.

Koperal Jenain Subi, 48, yang berasal dari Sabah, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, menyebabkan kematian Aminulrasyid pada 26 April lalu.

Dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar sebelum ini memberitahu individu yang patut memohon maaf berhubung kejadian itu adalah individu yang membenarkan arwah remaja tersebut memandu kereta pada hari kejadian.

Ini kerana, menurut beliau, individu tersebut pasti mengetahui arwah Aminulrasyid tiada lesen memandu dan tidak seharusnya dibiarkan memandu kenderaan walaupun dalam apa keadaan sekalipun.

“Saya enggan minta maaf kerana ketika kejadian anggota polis yang terlibat hanya menjalankan tugas.

“Mujur tiada orang awam yang cedera teruk atau mati akibat dilanggar oleh arwah yang tiada lesen memandu semasa melarikan diri daripada orang awam dan juga polis,” kata beliau.

Wakil rakyat itu menambah beliau akan menulis kepada polis mengenai perkara tersebut.

“Apa salahnya memohon maaf kepada keluarga mangsa,” katanya.

Dalam pada itu Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam berkata pihaknya berharap pihak polis tidak terus mengganggu saksi utama, Mohamad Azamuddin Omar iaitu kawan Amirulrasyid memandangkan telah banyak kali diambil keterangan.

“Sudah banyak kali polis telah mengambil keterangan atas alasan keterangan bercanggah... saya percaya ini tindakan hendak mengganggu dan menjejaskan kewibawaan saksi,” kata Khalid.

Oleh itu beliau berharap pihak polis tidak terus mengenakan tekanan dan menganggu remaja berkenaan.

Pada sidang media itu, Khalid juga meminta pentadbiran Datuk Seri Najib Razak segera mengambil alih projek pembinaan Hospital Shah Alam yang terbengkalai sejak sebulan lalu.

Gesaan itu ekoran pergaduhan dalaman Sunshine Fleet Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama dengan subkontraktor GMH Healthcare yang akhirnya melumpuhkan keseluruhan kerja-kerja pembinaan projek mega bernilai RM482 juta itu.

“Sila siapkan segera, tiada bajet tambahan, tiada tender semula dan tiada pemberian tender secara rundingan langsung,” tegas beliau.

Menurut beliau, kemahiran pengurusan dan prasarana pembinaan yang ada pada pentadbiran Najib sebenarnya mampu menyelesaikan projek mega tersebut tanpa tender semula.

Katanya, projek tersebut sepatutnya siap Ogos tahun ini.

“Saya difahamkan ia hanya akan siap Oktober tahun depan,” katanya lagi.

No comments

Powered by Blogger.