Laporan Sin Chew: Tindakan boikot tidak sesuai

Oleh G Vinod

KUALA LUMPUR: Respon Ahli Parlimen PKR-Batu Tian Chua terhadap laporan Sin Chew yang mendesak Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan disifatkan sebagai "cetek", "bodoh", "tidak kena pada tempatnya" dan mencabul kebebasan bersuara oleh setengah-setengah pihak.

Bekas pengarah Pusat Pengajian Dasar Awam, Lim Teck Ghee, menyifatkan tuntutan Tian Chua supaya memboikot akhbar harian Sin Chew yang mendesak Khalid meletak jawatan sebagai "bodoh" dan "tidak sesuai".

"Jika anda hendak memboikot semua akhbar harian yang kita tidak bersetuju, maka tidak akan ada lagi akhbar harian di dunia ini," kata Lim kepada Free Malaysia Today, baru-baru ini.

Tian Chua menyarankan akhbar itu diboikot selama tiga bulan mulai 1 Julai.

Apabila ditanya sama ada pimpinan Pakatan Rakyat harus mengambil tindakan terhadap Tian Chua kerana membuat desakan itu, Lim berkata ianya tidak perlu kerana tindakan Tian Chua tidak akan memberi kesan terhadap sumbangan beliau secara keseluruhan kepada parti dan kawasan parlimennya.

"Beliau telah menjalankan tugasnya dengan baik dalam hal-hal lain yang menyentuh kepentingan awam. Saya yakin isu ini akan segera dilupakan," kata Lim.

Ahli Parlimen Kuala Selangor menganggap tindak balas Tian Chua berupa "respon spontan daripada beliau sendiri dan tidak mencerminkan pendirian parti".

"Mungkin beliau kecewa dengan laporan-laporan itu dan terbawa-bawa dengan emosi. Bagi saya, saya percaya kepada kebebasan akhbar selagi mana tidak ada unsur hasutan," kata ahli jawatankuasa PAS pusat itu.

"Kita perlu faham bahawa apabila kita mengkritik seseorang, kita mesti bersedia menerima kritikan jua. Kedua-dua pihak harus menerimanya," kata Dzulkefly.

"Malahan, adalah menjadi hak Tian Chua untuk menyarankan boikot terhadap akhbar itu, jika beliau mahu. Sama ada sesiapa hendak menurut saranannya atau tidak, terpulanglah kepada mereka," katanya.

Kefahaman sempit dan "double standard"

Turut mengkritik reaksi Tian Chua ialah seorang wartawan veteran dan penulis pojok Thomas Lee Seng Hock. Lee menuduh Tian Chua mempunyai "kefahaman yang cetek tentang proses politik demokrasi" yang didokong oleh partinya, PKR dan beliau sendiri.

"Salah satu tunjang kepada prinsip demokrasi ialah kebebasan bersuara, termasuk kebebasan akhbar. Untuk menyekat kebebasan akhbar pastinya merupakan satu pencabulan terhadap kebebasan bersuara," katanya dalam portal berita MySin Chew semalam.

Lee berkata Pakatan Rakyat secara terbuka mengisytiharkan bahawa mereka berpegang kepada kebebasan bersuara dan malah berjanji untuk meminda sekatan, halangan, penindasan, dan kawalan terhadap laporan berita.

"Apa yang Tian Chua telah lakukan bercanggah dengan prinsip Pakatan tentang kebebasan untuk menyatakan pendapat dan pandangan dan jika beliau boleh menarik balik kenyataannya dan mohon maaf adalah lebih baik.

Sementara itu, Timbalan Ketua Publisiti MCA, Loh Seng Kok juga menempelak pengarah strategi PKR itu, menuduh beliau "double standard" dan mengingatkan beliau untuk "mempraktikkan apa yang beliau katakan."

Menyifatkan desakan boikot oleh Tian Chua sebagai "tidak sesuai dan tidak rational", Loh berkata, jika terdapat kesilapan faktar dalam laporan berita itu, maka Tian Chua harus mendapatkan penjelasan dari media tersebut dan bukannya meminta diboikot.

"Panggilan untuk boikot adalah satu taktik lemah untuk menarik tumpuan orang ramai daripada masalah dalaman PKR," kata Loh.

No comments

Powered by Blogger.