Minggu haluan siswa: Ibu terkilan, bapa kesal

Mohd Idham Zainal Abidin

Awal Julai ini menyaksikan puluhan ribu kemasukan pelajar baru di IPTA/IPTS seluruh negara.

Tergambar kegembiraan diwajah ibu bapa masing-masing melihat kejayaan anak mereka bergelar mahasiswa, niat murni ibu bapa yang pastinya diiringi dengan harapan ingin melihat anak yang dihantar ke universiti, keluar sebagai seorang mahasiswa yang mempunyai keyakinan tinggi dan mampu merubah masyarakat.

Paling tidak, ia mampu memperbaiki corak kehidupan keluarga ke arah yang lebih baik dan teratur.

Oleh hal yang demikian, pembinaannya bermula daripada asasnya. Bagi mahasiswa baru, first impression mereka adalah untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru alam kampus yang selama ini dibayang-bayangkan sebagai sebuah pusat 'gedung keilmuan' dan keintelektualan.

Maka minggu haluan siswa yang menjadi acara wajib saban tahun sebagai tapak pemula. Mereka akan didedahkan dengan realiti kampus, suasana, kehidupan dan cabaran yang bakal ditempuhi.

Minggu haluan siswa ataupun minggu suaikenal merupakan antara program wajib universiti yang melibatkan seluruh mahasiswa baru menjadi tapak pemula. Sinonimnya, minggu dimana mahasiswa mengetahui realiti tentang kampus dan gaya hidup dan cabaran sebagai seorang yang bergelar mahasiswa.

Seorang bapa dari Pantai Timur, merasa kesal dengan pengisian minggu haluan siswa. Ini kerana beliau dihubungi anaknya yang bertanyakan pendapat untuk pertandingan debat yang bertajuk “Isu gosip mengangkat nama artis Malaysia.”

Berikutan daripada itu, beliau menyatakan, sangat tidak relevan bagi seorang mahasiswa membincangkan perkara tersebut dan beliau mencadangkan perdebatan di kalangan mahasiswa sepatutnya berunusur ilmiah dan membina keintelektualan mahasiswa sebagai contoh pendidikan di Malaysia, jelasnya.

Memetik kenyataan Tan Sri Arsyad Ayub, pengerusi lembaga pengarah Universiti Malaya, dalam amanatnya sewaktu merasmikan minggu haluan siswa Universiti Malaya menasihat agar mahasiswa menjauhi perkara yang melalaikan dan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa seperti lepak, hiburan melampau dan pesta-pesta yang meruntuhkan moral dan kredibiliti mahasiswa.

Dimanakah intelektual mahasiswa yang diura-urakan universiti?

Budaya keilmuan tidak lagi menjadi agenda utama dalam membangunkan modal insan mahasiswa. Bukan menolak hiburan, namun mahasiswa tidak boleh dididik dengan budaya hiburan yang melampau, kelak memberi kesan tatkala mereka sudah berada di tengah masyarakat.

No comments

Powered by Blogger.