Muhammad Husayn Fadlallah dan kebangkitan Syiah

Oleh Haris Zalkapli

1. Syiah Iran, Syiah global
Vali Nasr, seorang felo di Majlis bagi Hubungan Luar (CFR) di Amerika Syarikat dalam bukunya tentang apa yang disifatkan "kebangkitan Syiah" memberi fokus utama kepada Iran, dengan satu bab bertajuk The Rise of Iran.

Dalam banyak perkembangan, melibatkan pengikut Syiah di banyak negara termasuk Lubnan, Yaman, Bahrain dan negara-negara Asia Tenggara, Iran menjadi negara sentral melibatkan Syiah.


Doktrin Wilayah al-Faqih menjadikannya negara pemimpin, dengan dijadikan panduan oleh kumpulan seperti Hizbullah di Lubnan.

Walau bagaimanapun, seperti yang ditunjukkan oleh Sayyid Muhammad Husayn Fadlallah yang meninggal dunia pada 4 Julai lalu, pluralisme dalam pemikiran Syiah menjadikan negara seperti Iraq dan tokoh-tokoh bukan Iran juga penting dan memberi kesan besar kepada dunia Syiah.

Juan Cole, pengkaji sejarah Universiti Michigan yang banyak mengulas isu-isu melibatkan Syiah dan dunia Islam dalam tulisannya di blog bertajuk Fadlallah's Life and the Shiite Wave menyebut, "Kehidupan (Fadlallah) memberikan contoh kebangkitan dan peningkatan pengaruh global Islam Syiah."

Perkembangan ini menimbulkan isu berhubung peranan kepimpinan Syiah Iran dan Syiah dengan pemikiran yang berbeza (tetapi juga daripada aliran 12 Imam yang menguasai Iran), dengan tokoh-tokohnya tersendiri.

2. Muhammad Husayn Fadlallah dan gerakan Islam Lubnan

Sayyid Muhammad Husayn Fadlallah, alim terkemuka di Lubnan meninggal dunia pada usia 75 tahun pada 4 Julai lalu, setelah berperanan penting dalam mempengaruhi politik negaranya, terutama melibatkan masyarakat Syiah yang terpinggir sejak sekian lama.

Pemimpin ini ialah antara ulama yang menganjurkan perjuangan politik berlandaskan Islam di Lubnan, berbeza dengan gerakan Amal yang sekular, dan pada masa sama mempunyai pandangan pragmatik dalam politik.

Fadlallah mempunyai sumbangan besar dalam pertumbuhan politik gerakan Islam di Lubnan, yang hasilnya dapat dilihat pada hari ini. Pemimpin masyarakat ini menjadi antara penggerak pergerakan masyarakat Syiah di selatan Lubnan yang kemudian melahirkan Amal dan Hizbullah.

Fadlallah bersama-sama dengan tokoh agama Lubnan yang terkemuka ketika itu, Musa al-Sadr dalam memimpin gerakan politik baharu Muslim Syiah Lubnan setelah lama tidak mendapat perwakilan sewajarnya dan dikuasai ketua-ketua tradisional dikenali sebagai zu’ama.

Dominasi zu’ama ini disaingi oleh Amal yang ditubuhkan pada 1975 dan kemudian gerakan Islam Hizbullah yang mengikuti haluan yang ditunjukkan oleh Fadlallah.

Selepas perang saudara pada 1975, masyarakat Syiah Lubnan semakin merasakan keperluan untuk satu pergerakan politik yang lebih berkesan.

Setelah perjuangan Amal yang sekular semakin tidak popular, muncul Amal Islami yang merupakan pecahan daripada Amal dan kemudian Hizbullah pada awal 1980-an (tetapi hanya kelihatan sebagai satu kumpulan yang kohesif pada tahun-tahun 1990-an).

Ekoran hilangnya Musa al-Sadr pada 1978, Fadlallah menjadi tokoh agama paling berpengaruh di Lubnan, menjadikan beliau pemimpin agama yang memimpin masyarakat Syiah Lubnan ketika revolusi di Iran pada 1979.

Revolusi Islam Iran pada 1979 kemudian dirasai kesannya di Lubnan, mengukuhkan lagi kesatuan dan gerakan politik Islam masyarakat Muslim Syiah Lubnan.

Ramai pengasas Hizbullah mendapat pendidikan daripada Fadlallah, menjelaskan pengaruh beliau terhadap gerakan ini, walaupun hubungan kedua-dua tokoh agama ini dengan Hizbullah mengalami turun naik disebabkan beberapa isu.

Tetapi berbeza dengan Hizbullah, Fadlallah tidak menerima doktrin Wilayah al-Faqih yang dibawa Khomeini, walaupun menyokong Revolusi Islam Iran pada 1979.

Beliau sering dirujuk media Barat sebagai “pemimpin spiritual” Hizbullah, walaupun hakikatnya beliau bukanlah marja al-taqlid (rujukan yang perlu diikuti oleh individu Syiah dalam hal ehwal fiqh) yang paling popular dalam kalangan masyarakat Syiah Lubnan.

Fadlallah juga tidak menjawat sebarang jawatan dalam Hizbullah atau terlibat dalam operasi pertubuhan itu.

Hizbullah merujuk kepada Ali Khamenei di Iran, selari dengan kepatuhannya kepada doktrin Wilayah al-Faqih, walaupun individu dalam kumpulan itu bebas untuk memilih marja masing-masing.

Vali Nasr, profesor hubungan antarabangsa di Universiti Tufts di Amerika Syarikat dalam bukunya The Shia Revival: How Conflicts within Islam Will Shape the Future menulis Fadlallah menjadi rujukan penting Hizbullah pada tahun 1980-an, tetapi mula memilih haluan intelektual lain selepas itu.

Menurut Augustus Richard Norton dalam bukunya Hezbollah: A Short History, Ali Sistani dari Iraq ialah marja paling popular dalam kalangan masyarakat Syiah Lubnan, diikuti oleh Fadlallah, yang lahir dan mendapat pendidikan di Iraq. Fadlallah pernah memperakukan Sistani sebagai marja, sebelum beliau sendiri menduduki kedudukan itu.

Malah, satu perkara penting dalam asas intelektual melibatkan pengasas-pengasas Hizbullah melibatkan pembelajaran agama di Najaf, Iraq di bawah tokoh seperti Khomeini.

Juan Cole, profesor sejarah di Universiti Michigan dan penulis buku Sacred Space and Holy War: The Politics, Culture and History of Shi’ite Islam berpendapat mereka yang mengikuti Fadlallah akan memilih Sistani sebagai marja.

Walaupun tidak terlibat dalam organisasi Hizbullah, penglibatan gerakan Islam itu dalam politik pilihan raya – kali pertama pada 1992 – yang sebelum itu ditentang sebagai tidak adil dan korup juga menyaksikan sumbangan intelektual Fadlallah.

Fadlallah berpandangan perubahan secara revolusi tidak dapat dilaksanakan di Lubnan yang majmuk, dan menganjurkan penglibatan dalam pilihan raya.

Menurutnya, gerakan Islam perlu terlibat dalam proses politik dan tidak hanya berada di luar sistem.

Walau bagaimanapun, beberapa pendirian beliau berhubung wanita dan syariah tidak selari dengan sebahagian besar pandangan agamawan lain, satu faktor yang menjarakkan beliau dengan Hizbullah dan Iran.

Fadlallah mempunyai pandangan yang konsisten berhubung Israel, penyatuan Syiah-Sunnah dan mengkritik dasar luar Presiden Amerika Syarikat Barack Obama sebagai tidak memenuhi harapan pada awal perlantikannya. Beliau juga dilaporkan sebagai tokoh agama Islam terawal mengutuk serangan 11 September, 2001 di AS.

Muhammad Husayn Fadlallah telah memberi sumbangan besar kepada perkembangan politik bukan sahaja melibatkan masyarakat Muslim negara Lubnan, tetapi juga memberi kesan kepada pemikiran dalam dunia Syiah, kesan yang terus dapat dilihat hingga kini. –

No comments

Powered by Blogger.