Najib didakwa terdesak guna ulama tekan, lemahkan PAS

Oleh G. Manimaran dan Syed Mu'az Syed Putra


Tuan Ibrahim mendakwa isu rundingan Umno dan PAS sengaja dibangkitkan untuk mengalihkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan. – Gambar fail
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Datuk Seri Najib Razak terdesak sehingga terpaksa menggunakan ulama dan mufti dalam isu syor kerjasama Umno-PAS, sekali gus mencetuskan persepsi negatif tentang PAS, dakwa pemimpin-pemimpin parti Islam itu.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tindakan Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno menggunakan ulama dan mufti juga kelihatan mahu mengenakan tekanan ke atas PAS dalam isu kerjasama kedua-dua parti.

“Apabila PAS tolak Umno, ia akan memberikan gambaran negatif di kalangan masyarakat bahawa PAS tidak mahukan perpaduan.

“Jadi Najib sengaja menggunakan ulama dan mufti untuk menaikkan semula kredibiliti Umno selepas ia mula hilang kepercayaan di kalangan orang Melayu.

“Bagi saya ia hanya satu kaedah lapuk yang digunakan untuk menjatuhkan pihak pembangkang,” kata beliau kepada The Malaysian Insider petang ini.

Beliau juga berkata soal rundingan Umno dan PAS yang dibangkitkan sebelum ini juga adalah untuk mengalihkan perhatian dan kemarahan rakyat kepada kerajaan.

“Sebelum ini banyak perkara yang telah membangkitkan kemarahan rakyat termasuk pemotongan subsidi, rasuah, judi dan sebagainya, jadi Perdana Menteri sengaja mengalihkan perkara ini.

“Daripada rakyat marah kepada Umno, tukar rakyat marah PAS pula kerana tolak perpaduan,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang ini.

Laporan awal The Malaysian Insider memetik Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria sebagai berkata Najib bersetuju untuk bekerjasama dengan PAS demi untuk mempertahankan perpaduan Melayu dan Islam negara ini, dan mahu usaha itu disegerakan tanpa sebarang prasyarat.

Harussani berkata, keperluan itu dibangkitkan selepas Najib mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam semalam.

“Perdana Menteri setuju tapi jangan letak syarat, beliau setuju supaya disegerakan soal perbincangan di antara Umno dan PAS.

“Beliau juga bersetuju supaya perbincangan itu perlu dibuat demi untuk mempertahankan perpaduan orang Melayu dan Islam di negara ini.”

Menurut Harussani, Perdana Menteri berharap PAS tidak akan berdolak-dalik dalam perkara ini.

Sebelum ini Najib mengatakan bahawa Umno sentiasa bersikap terbuka untuk mengadakan sebarang perundingan dengan PAS yang menjurus kepada perpaduan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden Umno berkata rundingan perpaduan itu mestilah dibuat tanpa prasyarat.

Tuan Ibrahim berkata Umno sengaja menggunakan ulama dan mufti untuk melemahkan PAS yang selama ini memperjuangkan Islam dan orang Melayu.

“Umno kini hanya mahu menyerang PAS, jadi mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk gunakan ulama dan mufti.

“Ini kerana bila rakyat lihat ulama dan mufti sokong Umno maka imej PAS akan jatuh,” katanya.

Beliau juga membidas tindakan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam yang memberikan sokongan kepada Umno tanpa memikirkan soal keperluan rakyat.

“Kenapa Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam perlu sokong Umno?

“Sepatutnya mereka perlu ambil peranan dengan membantah segala kemungkaran yang dilakukan Umno sepanjang memerintah negara.

“Daripada ajak PAS untuk bekerjasama, lebih baik Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam pastikan negara dipimpin dengan berpandukan Islam dan perintah Allah,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar juga mendakwa Umno memang sudah tenat dan terdesak kerana sanggup menggunakan mufti Perak untuk berbohong mengatakan terdapat pimpinan PAS yang meminta beliau menguruskan perpaduan PAS-Umno.

“Saya mengajak rakyat Malaysia melihat akan tingkah laku Umno akhir-akhir ini.

“Rakyat Malaysia boleh melihat sendiri kelakuan Umno penghujung hayat mereka,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini sambil menambah institusi agama seperti pejabat mufti pun sanggup diperkudakan.

“Semuanya ‘halal’ bagi mereka, asalkan dapat terus berkuasa.

“Duli, kini dan selamanya Umno menipu rakyat. Sekarang bila semua sudah melihat kemungkaran mereka barulah terlolong ingin menyatupadukan bangsa Melayu.

“Inilah balasan kepada sikap bongkak, sombong dan kezaliman mereka.

“Kezaliman mereka bukan sahaja terhadap rakyat, malah alam semula jadi Malaysia pun mereka menzalimi demi memenuhi kerakusan mereka,” katanya.

Mahfuz berkata beliau berkeyakinan umat Islam dan bangsa Melayu ingin melihat Umno dimuziumkan beserta kebobrokan, kezaliman dan kerakusannya dalam pilihan raya umum ke-13.

No comments

Powered by Blogger.