Najib gesa MIC kikis politik kasta jika mahu kukuh

Oleh G. Manimaran


Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MIC di PWTC petang tadi. – Gambar Choo Choy May
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Datuk Seri Najib Razak secara terbuka menggesa MIC tidak lagi mengamalkan politik kasta jika mahu parti itu muncul sebagai komponen Barisan Nasional (BN) yang kuat dan mantap.

Dalam ucapan lantang Perdana Menteri juga memberitahu MIC harus menyelesaikan masalah kepimpinan dengan segera sebelum menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Saya tidak tahu sama ada saya boleh bercakap aspek ini di sini atau tidak, tapi saya mahu MIC mengetepikan politik berkasta untuk melahirkan barisan pemimpin yang berupaya untuk menjadikan MIC parti yang kuat,” kata Pengerusi BN ini.

Perdana Menteri (gambar kiri) berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-64 di PWTC hari ini.

Najib dilihat ketua BN pertama mengatakan demikian pada perhimpunan tahunan MIC.

Pada awalnya Najib yang juga Presiden Umno berkata MIC selaku komponen BN perlu menjadikan ia sebagai sebuah parti yang kuat dengan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapinya.

“Jika MIC mahu menjadi kuat kembali, tengok apa masalah yang wujud, saya tidak mahu cakap... tengok petanda-petanda yang wujud dalam masyarakat India, apa petanda yang wujud.

“Apa petanda-petanda itu, anda sendiri kena tanya, anda sendiri kena tanya,” kata beliau yang menerima tepukan ketika menyentuh isu politik kasta.

Bagaimanapun perdana menteri yang keenam ini meneruskan ucapannya dengan menggariskan politik kasta sebagai salah satu masalah dalam MIC.

MIC salah satu daripada tiga komponen yang melahirkan Perikatan, yang membawa kepada negara mencapai kemerdekaan.

Selepas peristiwa 13 Mei 1969, Perikatan digantikan dengan Barisan Nasional (BN) yang kini mempunyai 13 komponen.

Dakwaan bahawa MIC mengamalkan pertimbangan kasta khususnya pemilihan jawatan peringkat pusat dan calon pilihan raya bukan sesuatu yang baru.
Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan MIC memberikan penghormatan ketika Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan perasmiannya. – Gambar Choo Choy May

Bagaimanapun kepimpinan MIC telah menafikan perkara ini banyak kali ini sebelum ini.

Isu itu juga muncul ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu - pilihan raya kecil yang menyaksikan hubungan ‘dingin’ antara MIC dan Umno dalam soal pemilihan calon.

Ini kali kedua Najib merasmikan perhimpunan agung tahunan MIC sejak memegang jawatan sebagai perdana menteri.

Meneruskan ucapananya Najib berkata, Umno akan bersama dengan MIC dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat India.

“MIC mesti menyelesaikan masalah mereka bersama kami... kami mesti membantu MIC untuk menyelesaikan masalah orang India,” kata beliau sambil menambah, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu tidak boleh dipersalahkan semata-mata.

“Kita harus bertindak sebagai satu pasukan. Apa yang penting ialah kita melangkah ke depan (dengan kukuh).

“Saya percaya MIC boleh menyampaikan (memberi sumbangan) jika MIC bersedia untuk berubah bersama kami.

“Jika MIC mengiktitraf isyarat (kehendak) masyarakat India. Apa petanda-petanda itu?” kata Najib lagi.

Najib menasihatkan MIC agar mengambil langkah untuk berdamping dengan masyarakat India dan pertubuhan-perubuhan bukan kerajaan India.

“Anda kena bekerja dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (masyarakat India) yang baik, saya ulangi pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang baik, pergi bersama mereka, jangan mengetepikan mereka.

“Kalau saya boleh bekerjasama dengan mereka, mengapa tidak MIC?” katanya.

“Apa lagi? Anda kena kembali melihat sejarah. Jangan biarkan, pada satu ketika, ketika era mendiang (bekas presiden MIC) Tun V.T. Sambanthan dan Tan Sri Manickavasagam.... era bermasalah, jangan biarkan masalah yang sama berulang.

“Kita tidak mampu untuk menghadapi semula keadaan ini. Untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, anda kena menyelesaikan masalah kepimpinan anda untuk memperkukuhkan kedudukan anda, bukannya menghancurkan parti anda,” katanya.

Dalam ucapannya, Najib menambah, beliau tidak mahu bercampur tangan dalam masalah dihadapi oleh MIC.

“Saya tidak ada penyelesaian. Anda cari penyelesaian. Cara penyelesaian yang boleh menyelesaikan masalah, bukannya memusnahkan MIC... itu rayuan saya kepada anda, untuk menjadikan kepimpinan lebih dihormati oleh masyarakat anda,” katanya.

“Apa lagi yang anda harus lakukan? Jika anda membenarkan saya bercakap di sini, saya tidak tahu sama ada saya harus bercakap di sini... jangan terlalu terbawa-bawa dengan politik kasta,” katanya.

Najib menegaskan, faktor kasta tidak harus menjadi pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan kepimpinan MIC.

“Nak tengok atas bawah, anda harus memilih pemimpin berdasarkan keupayaan mereka, keupayaan yang boleh membantu masyarakat India... tidak kisah satu atas, satu bawah,” kata Najib dengan memberikan misalan ada sesetengah pemimpin tidak mahu mengenakan kalungan bunga semata-mata kerana perbezaan kasta.

“Kalau dia itu (calon) yang layak, tidak kisah dari mana dia datang... (sokong mereka). Dalam Umno, kami tidak mengamalkan perkara ini. Dalam Umno ada anak penoreh getah, ada anak nelayan jadi menteri besar, ada anak petani jadi menteri.

“Itu adalah mobiliti sosial. Kita mahukan mobiliti sosial dalam negara ini. Itu adalah penting bagi masyarakat India,” katanya.

Najib juga menegaskan, MIC harus menjdi sebuah parti progresif yang moden.

“Umno sedang melalui perubahan. Anda harus juga berubah, kita berubah untuk keadaan yang lebih baik.

“Saya berjanji, saya sebagai perdana menteri saya akan membela komuniti anda,” katanya.

Selain itu Najib juga mengaitkan masalah dalaman MIC dengan peranan akhbar-akhbar harian bahasa Tamil di negara ini.

“Ada tiga akhbar, tetapi semua bercakaran... bergaduh,” kata beliau dengan menyindir tetapi menerima tepukan masyarakat India.

Kini ada empat akhbar iaitu Tamil Nesan, Malaysia Nanban, Makkal Osai dan Uthaya Sooryan.

Tamil Nesan dimiliki oleh keluarga Presiden MIC manakala Makkal Osai dimiliki oleh bekas timbalan presiden MIC Datuk S. Subramaniam. Uthaya Sooryan dikendalikan oleh rakan Samy Vellu.

“(Akhbar-akhbar) anda memusnahkan sesama sendiri, anda memusnahkan Barisan Nasional... apa ini? Tak guna ini... saya tidak akan mengatakan ‘poda’. Anda harus menggunakan akhbar, ada banyak isu, anda mesti menggunakan untuk mengubah fikiran masyarakat India,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.