Nik Aziz dedah wujud perpecahan menjelang pemilihan PAS tahun depan

KOTA BARU, 3 Julai — Baru sahaja selesai Muktamar PAS ke-56 bulan lepas, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengakui wujudnya perpecahan di dalam parti itu bagi merebut jawatan tertinggi parti pada pemilihan Muktamar PAS tahun depan.

Kemelut perpecahan dilihat meruncing kerana beliau sendiri menyarankan agar tidak diadakan pemilihan bukan sahaja di peringkat tertinggi parti malahan di peringkat sayap parti iaitu Dewan Muslimat, Ulama dan Pemuda.

Sehubungan itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata pemilihan untuk kepimpinan perlu diadakan secara perbincangan ataupun melalui syura dan bukannya dengan meletakkan calon untuk bertanding bagi kerusi kepimpinan parti itu dalam Muktamar ke-57 nanti.

Difahamkan pemilihan sengit dijangkakan bagi kesemua jawatan penting khususnya timbalan presiden dan naib presiden.

Kedua-dua jawatan itu menyaksikan saingan tahun lalu.

PAS mengadakan pemilihan dua tahun sekali.

“Tok soh (tidak perlu) bertanding. Tidak molek (tidak elok) la. Nak bertanding pun jangan sampai ke peringkat perpecahan.

“Ini luahan hati seorang tua (luahan daripada orang yang sudah lama di dalam PAS),” kata beliau dipetik Bernama selepas menghadiri sambutan jubli perak sebuah pondok agama di Bukit Payung di sini hari ini.

Pada Muktamar PAS Jun lepas tiada pemilihan diadakan di peringkat kepimpinan kerana ia diadakan sekali dalam dua tahun dan pemilihan kepimpinan akan diadakanpada persidangan Muktamar PAS tahun depan.

Persidangan PAS lepas, lebih memfokuskan untuk menguatkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan membenarkan Dewan Himpunan Penyokong PAS, iaitu anggotanya terdiri daripada golongan bukan Islam yang menyokong parti itu, menggunakan logo PAS untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, Nik Aziz berkata jika pemilihan atau pertandingan tidak dapat dielakkan pada muktamar akan datang, beliau menyarankan pemilihan itu diadakan secara teratur dan mengikut disiplin parti.

Kemelut dalaman PAS timbul pada 2009, apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin lain menyokong penubuhan kerajaan perpaduan melalui kerjasama dengan seteru parti itu, Umno, atas matlamat untuk membela nasib orang Islam di negara ini.

Bagaimanapun Nik Aziz menentang keras kerjasama kerajaan perpaduan itu dengan menuduh Umno cuba memecah-belahkan parti sedangkan cadangan asalnya dicanangkan oleh Hadi pada persidangan Muktamar PAS.

Akibatnya Nik Abdul Aziz menerusi blognya, www.bloktokguru.com mencadangkan supaya Muktamar Agung Khas (EGM) diadakan bagi menukar ‘‘dua tiga kerat’’ pemimpin parti itu yang bermasalah supaya dibersihkan daripada golongan prokerajaan perpaduan. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.