Nik Aziz: ‘Itu pendapat peribadi Karpal’

KOTA BARU, 1 Julai — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata PAS akan terus melaksanakan Islam yang diperjuangkan sejak sekian lama walaupun ada bangkangan daripada beberapa pemimpin parti rakan sekutu dalam pakatan pembangkang, termasuk DAP.

Sehubungan itu beliau mahu Pengerusi DAP Karpal Singh supaya membuktikan konsep negara Islam acuan PAS, yang telah dilaksanakan di Kelantan selama 20 tahun, adalah salah.

Beliau, yang juga Menteri Besar Kelantan, menganggap kenyataan Karpal yang menolak gagasan pembentukan konsep negara Islam PAS jika pakatan pembangkang dapat menguasai pentadbiran negara, sebagai kenyataan peribadi.

Katanya, jika terdapat suara-suara sumbang yang lahir dari pemimpin komponen Pakatan Rakyat yang mencurigai hasrat PAS itu, ia merupakan pendapat peribadi masing-masing.

“Selagi mereka (yang tidak bersetuju dengan dasar PAS itu) tidak dapat membuktikan dasar Islam yang kami laksanakan ini salah, kami akan terus perjuangkan dasar ke arah pembentukan negara Islam,” katanya dipetik Bernama.

Nik Aziz (gambar) berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal dalam temu bual bersama sebuah portal berita yang mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan PAS sekiranya pembangkang mengambil alih negara.

Ia merupakan pendapat peribadi Karpal sendiri, bukannya dari DAP dan setakat ini tidak ada pihak yang dapat membuktikan konsep perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS itu salah, kata Nik Aziz.

Bagaimanapun, setakat ini Nik Aziz berkata beliau tidak nampak DAP secara terus-terang menolak dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS, cuma yang ada suara-suara sumbang beberapa kerat pemimpinnya dari luar.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider minggu lalu, Karpal yang mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan PAS sekiranya pembangkang mengambil alih negara.

“Mustahil bagi DAP berkompromi dalam hal ini. Kami tidak boleh kompromi agar negara berubah menjadi negara Islam (jika PR mengambil alih kerajaan pada masa depan),” kata Karpal.

“Ia sebuah negara sekular. Saya percaya Allahyarham Tunku Abdul Rahman (perdana menteri pertama) pernah menyebut sebelum ini mengenai Malaysia,” kata ahli politik veteran ini kepada The Malaysian Insider.

Karpal yang genap 70 tahun Isnin lalu memberitahu, tidak pernah wujud kekeliruaan mengenai status Malaysia sebagai sebuah negara sekular.
Grab a Celcom Blue Bear(TM) and stand to walk away with RM10,000!

Karpal menyalahkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengubah realiti sebuah negara sekular menerusi kenyataan-kenyataan politiknya yang dibuat oleh beliau pada masa-masa lalu, yang telah “mengelirukan orang ramai” berkenaan identiti Malaysia.

“Perlembagaan menyediakan peruntukan mengenai perkara ini. Tiada peruntukan dalam perlembagaan yang mengatakan Malaysia sebuah negara Islam.

“Agama rasmi Malaysia ialah Islam tetapi tidak bermakna ia sebuah negara Islam,” kata beliau lagi.

No comments

Powered by Blogger.