Orang Kampung Baru 'Derhaka' Kepada Raja

Kampung Baru: MAS ada hak, pusat diminta jangan pertikai

http://media.themalaysianinsider.com/images/uploads/07/01/raja-july1.jpg


Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 1 Julai — Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru menegaskan pihaknya mempunyai hak dalam proses kata putus pembangunan sambil menyifatkan Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin “kurang faham” mengenai peranan badan itu dalam urusan pentadbiran penempatan orang Melayu tersebut.

Justeru Setiausaha Agung MAS Shamsuri Suradi memberitahu, pihaknya mempunyai hak dalam segala urusan di Kampung Baru yang terletak di ibu negara, termasuk dalam hal berkaitan pembangunan.

“Bagaimana beliau (Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar) boleh bercakap MAS tiada hak dalam pembangunan Kampung Baru?

“Selama ini segala hal berkaitan Kampung Baru termasuk pertukaran hak milik tanah akan melalui MAS dahulu... adakah ini dikatakan tiada hak? Apa hak beliau cakap MAS tiada hak?

“Saya rasa beliau tidak faham apa peranan MAS,” kata Shamsuri sambil menambah, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar perlu belajar semula sejarah Kampung Baru sebelum nak cakap apa-apa.

Shamsuri berkata demikian kepada The Malaysian Insider ketika diminta mengulas kenyataan Raja Nong Chik (gambar) kelmarin yang mengatakan MAS tidak mempunyai hak dalam pembangunan Kampung Baru yang dicetuskan semula selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melawat kawasan itu awal tahun ini.

“Kita menghormati MAS dari sudut sejarah tetapi MAS tidak mempunyai kuasa undang-undang.

“Segala persoalan mengenai pembangunan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” tegas beliau.

Shamsuri berkata, kenyataan itu juga seolah-olah “mencabar” kedudukan MAS sebagai lembaga pentadbiran kawasan tersebut selama 110 tahun.

“Kenapa kerajaan masih mahu mendesak MAS?

“Adakah kerajaan mahu MAS ditutup supaya boleh ambil alih urusan pentadbiran Kampung Baru?

“Mengenai soal pembangunan, bagaimana MAS nak setuju jika penduduk juga tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan?” kata beliau.

Sehubungan itu Shamsuri berkata, pihaknya kini sedang mengolah idea pembangunan Kampung Baru yang mana ia diterima penduduk.

“Kita sedang membuat kertas kerja mengenai pembangunan Kampung Baru yang mana kita akan melibatkan pandangan penduduk.

“Selepas siap kita akan serahkan kertas kerja ini kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk dinilai,” katanya.

Kira-kira dua minggu lalu, kepimpinan MAS menyatakan pendirian tegas tidak mahu terlibat dalam “pertelingkahan politik” dengan mana-mana pihak termasuk Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Shamsuri ketika itu menegaskan setiap pendapat yang disuarakan itu hanya bersifat peribadi semata-mata dan tidak akan memberikan kesan kepada badan itu.

Raja Nong Chik sebelum ini juga mengatakan perkara pembangunan terletak pada tangan pemilik tanah individu, bukannya MAS.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim juga menawarkan pelan pembangunan alternatif.

Kampung Baru mempunyai keluasan 122.93 hektar dan berdasarkan penilaian yang dilakukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pada Mac 2007 membabitkan 54.4 hektar, kadar yang ditetapkan bagi satu kaki persegi untuk tanah kediaman ialah antara RM270 hingga RM300 dan RM500 hingga RM600 untuk satu kaki persegi bagi tanah perdagangan.

No comments

Powered by Blogger.