PAS: Harakah tetap terbit meskipun KDN belum baharui permit

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 9 Julai — Akhbar dwimingguan Harakah, satu lagi akhbar tabloid komponen Pakatan Rakyat yang diberi surat tunjuk sebab oleh Kementerian Dalam Negeri atas alasan melanggar syarat permit, akan terus muncul di pasaran seperti biasa.

Pengarah Urusannya Datuk Kamarudin Jaffar berkata, memandangkan tiada arahan agar penerbitannya dihentikan sementara menunggu permit diperbaharui, pengurusan memutuskan untuk meneruskan akhbar terbitan PAS itu.

“Harakah akan keluar macam biasa. Kami juga yakin Kementerian Dalam Negeri akan mengeluarkan permit macam biasa,” kata Kamarudin yang juga bekas setiausaha agung PAS kepada The Malaysian Insider pagi ini.

“Permohonan sedang dibuat... kami (pengurusan) berhubung dari semasa ke semasa mengenai perkara ini,” kata Kamarudin lagi.

The Malaysian Insider difahamkan permohonan untuk memperbaharui akhbar itu telah dibuat April lalu.

Difahamkan ini bukan kali pertama proses memperbaharui permit mengambil yang panjang, melewati tarikh tamat tempoh.

Permit semasa Harakah tamat kelmarin, hari Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat tunjuk sebab berhubung tiga kesalahan di bawah syarat permit penerbitan.

Sementara itu, Pengerusi Jamaah Pengurus Harakah, Datuk Mustafa Ali pula berkata pengurusan Harakah sedang mengendalikan isu permit akhbar itu yang tamat kelmarin dan belum diperbaharui oleh Kementerian Dalam Negeri sehingga kini.

“Isu ini sedang dikendalikan oleh pengurusan Harakah,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam.

Pengurusan Harakah menerima surat tunjuk sebab bertarikh 7 Julai 2010 tengah hari semalam.

Harakah yang mempunyai edaran dalam lingkungan 100,000 naskhah setiap edisi dikehendaki menjawab surat tunjuk sebab ini dalam tempoh tujuh hari.

Ini kali kedua sejak pilihan raya umum 2008, akhbar terbitan PAS ini berhadapan dengan tindakan tegas Kementerian Dalam Negeri.

Akhbar itu pernah digantung awal tahun lepas tetapi penggantungan dibatalkan pada hari Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Surat tunjuk sebab ini diterima tiga hari selepas pemangku Ketua Pengarang Harakah, Taufek Yahya dipanggil menghadap Pemangku Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi.

“Saya terkejut kerana perkara-perkara yang digariskan dalam surat tunjuk sebab ini tidak disentuh langsung dalam pertemuan 5 Julai lalu,” kata Taufek lagi.

Surat tunjuk sebab ini meminta Harakah memberi penjelasan mengapa ia gagal membekalkan lapan naskhah setiap edisi sebelum dipasarkan, dijual di kawasan-kawasan terbuka sedangkan permit hanya membolehkannya dipasarkan di pejabat atau markas PAS, dan sebab dijual kepada ahli-ahli bukan PAS.

Pada pertemuan Isnin lalu, Taufek berkata, Kementerian Dalam Negeri hanya menyentuh soal keperluan menghantar salinan lapan naskhah kepada kementerian itu dan penerbitan laporan menyentuh isu sensitif seperti Jemaah Islamiah, pengurusan Felda dan lesen judi bola.

Parti Keadilan Rakyat (PKR), satu lagi komponen Pakatan Rakyat, juga berhadapan dengan masalah yang sama.

Suara Keadilan terbitan PKR diberikan surat tunjuk sebab dua minggu lalu dan permit penerbitan yang tamat 30 Jun lalu belum diperbaharui lagi.

Berbanding Harakah, Suara Keadilan tidak dibenar diterbitkan meskipun proses memperbaharui akhbar mingguan PKR itu masih dalam pertimbangan.

PKR berkata ia menerbitkan akhbarnya seperti biasa dan disahkan edisi minggu ini sudah dicetak semalam.

Tindakan kementerian itu dikaitkan dengan laporan muka depan mereka yang bertajuk “Felda Bankrap”, keluaran akhir bulan lalu.

No comments

Powered by Blogger.