Pengadu dakwa keputusan SPRM mahu perangkap PI Bala

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR, 1 Julai — Pengadu kes terbaru melibatkan P. Balasubramaniam, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang semalam telah memutuskan untuk tidak menemui detektif persendirian itu di London Isnin depan.

Sebaliknya, Shamsul Iskandar mendakwa keputusan SPRM diumumkan semalam dengan memberi alternatif adalah “satu usaha untuk memerangkap” Balasubramaniam.

“SPRM memberi alternatif iaitu mahu Balasubramaniam menjawab menggunakan akuan bersumpah... tetapi saya merasakan dengan cara ini SPRM boleh memerangkap Balasubramaniam jika berlaku apa-apa kesilapan dalam kandungan akaun bersumpah berbanding keterangan lisan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Balasubramaniam pernah membuat dua akuan bersumpah dalam tempoh dua hari dan meninggalkan Malaysian selepas akuan bersumpah kedua.

Ini menurut beliau, ada kemungkinan Balasubramaniam (gambar) tidak mengingat kesemua perkara atau kejadian seratus peratus.

“Sebagai pengadu dalam kes ini, saya kecewa dan marah dengan keputusan SPRM ini kerana kes ini melibatkan personaliti-personaliti penting dalam politik dan ejen-ejen mereka.

“Apakah ini cara baru untuk menyiasat tokoh-tokoh politik dan melengah-lengahkan siasatan terhadap aduan yang dibuat,” kata beliau sambil menambah, “seolah-olah ada usaha untuk menutup kes ini.”

Sambil berkata ini kes normal yang hanya memerlukan pengambilan keterangan daripada Balasubramaniam, Shamsul Iskandar yang juga seorang peguam berkata, kes ini berbeza dengan dakwaan berkaitan syarikat Perwaja dan Tan Sri Eric Chia.

“Dalam kes Eric Chia siasatan, saya rasa tidak menyeluruh... jadi saya berpendapat ia tidak wajar digunakan sebagai alasan perbandingan,” katanya.

Pada 4 Disember lalu, Shamsul Iskandar membuat laporan dan menyerahkan rakaman temu ramah Balasubramaniam berhubung pembabitan adik Perdana Menteri dalam isu pertukaran akuan sumpahnya mengenai hubungan Altantuya Shaariibuu dengan Datuk Seri Najib Razak kepada SPRM.

Aduan lebih memfokus soal pemberian habuan yang disifatkan sebagai satu bentuk rasuah.

Balasubramaniam membuat pengakuan itu pada satu wawancara dengan tiga peguam terkenal di Singapura baru-baru ini.

Selepas portal-portal tempatan menyiarkan temu bual itu, beberapa pemimpin atasan Pemuda Pakatan Rakyat menyerahkan laporan kepada SPRM dengan menamakan Datuk Mohamed Nazim Razak dan seorang peniaga permaidani Deepak Jaikishan sebagai dua individu utama yang perlu disiasat.

Deepak juga didakwa kenalan rapat Datin Seri Rosmah Mansor.

Susulan aduan itu, Balasubramaniam menerusi peguamnya menghantar emel mengatakan kesediaan untuk memberi keterangan kepada SPRM tetapi mengenakan enam syarat antaranya temu bual dimaksudkan harus dikendalikan di Singapura ataupun London.

Pada awalnya SPRM enggan menyahut kesediaan itu atas alasan makluman emel bukan langkah formal.

SPRM mahukan permintaan formal bagi membolehkan pihaknya melayan kesediaan penyiasat persendirian itu yang menurut suruhanjaya ini, pada awal tahun ini, adalah saksi penting.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata SPRM dari awal-awal sudah menyatakan pelbagai alasan bagi mengelak mendapatkan keterangan daripada Balasubramaniam.

“Selepas beberapa alasan sebelum ini, akhirnya kini nampak jelas SPRM tidak mahu ke London atas alasan implikasi undang-undang... alasan ini tidak dapat diterima.

“Apakah implikasi undang-undang? Perkara ini pun masih belum jelas,” katanya.

Semalam, SPRM memutuskan tidak akan menghantar tiga pegawainya ke London bagi mengambil keterangan Balasubramaniam berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Mohd Shukri Abdull berkata sebaliknya Balasubramaniam akan diminta menjawab soalan yang akan dikemuka menerusi peguamnya dalam bentuk akuan bersumpah atau afidavit.

“Kami telah merujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan pandangan berhubung implikasi undang-undang terhadap proses merakamkan percakapan saksi di luar negara dan kami dinasihatkan agar tidak meneruskan pendekatan itu,” katanya.

Shukri berkata tindakan mengambil keterangan secara akuan bersumpah atau afidavit itu diperuntukkan di bawah Seksyen 30(1)(c) Akta SPRM 2010.

SPRM akan mengemukakan soalan kepada penyiasat persendirian itu melalui peguamnya bersama surat iringan menyatakan keputusan yang telah diambil hari ini.

No comments

Powered by Blogger.