Perkasa dan kenapa UMNO yang perlu risau?

Menggesa polis mengambil tindakan atas Dr Wee Ka Siong kerana mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu, maka tabloid Suara Perkasa diberi amaran? Dalam keadaan ini, sebenarnya menyuarakan kegelisahan Melayu dalam isu mempersoalkan hak keistimewaan Melayu adalah wajar dan sebenarnya tidak nampak melanggar hal berhubung kait dengan soal perkauman. Orang Melayu pasti gusar bila ada ugutan terhadap hak mereka TETAPI dalam konteks ini UMNO patut risau kerana dilihat gagal dalam mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu. UMNO sebenarnya berhadap dengan keadaan yang amat rumit dalam masa kedudukan UMNO dan BN adalah dalam keadaan yang tidak stabil khususnya dalam mengendali kebangkitan tuntutan hak sesuatu kaum. UMNO semakin terikat dalam senario yang di ciptanya sendiri – membicarakan 1 Malaysia tetapi tidak menyeluruh penjelasan sehingga di eksploitasi sebagai satu cadangan kesamarataan dan bukan keadilan. Dengan kehadiran Perkasa pula maka keadaan ini lebih memburukkan UMNO khususnya dari pandangan kaum lain. Beberapa perkara perlu dilihat segera khususnya dalam memperjelaskan secara terperinci konsep 1 Malaysia yang telah di culik oleh kaum lain sebagai satu usaha menyamaratakan semua kaum dan ini termasuk mencairkan hak keistimewaan orang Melayu. Perkara ini perlu jelas kerana tidak terdapat pengkhususan yang rapi mengenai hak orang Melayu. Adakah peruntukkan kuota untuk sektor-sektor kemasukan ke Universiti, pegangan 30% ekuiti bumiputera dan pembelian rumah harga bumi dan kemasukan perkhidmatan merupakan hak keistimewaan yang ada dan tidak boleh disentuh atau ia hanya sebagai satu bentuk komitmen bagi menunjukkan pelaksanaan peruntukkan keistimewaan orang Melayu sahaja?

Perkasa dalam membawa isu Melayu juga dilihat tidak progresif khususnya bila ia di pimpin oleh orang yang mempunyai kredibiliti yang tidak kukuh. Ibrahim Ali tidak memperlihatkan dirinya sebagai kukuh dalam perjuangan Melayu – setidak-tidak nampak goyah dari sudut pegangan politik beliau. Ketidakutuhan beliau menyebabkan persepsi ramai – PERKASA hanya medium untuk politik Ibrahim Ali lantas tidak mencerminkan suara Melayu. Ini ditambah lagi kehadiran PERKASA hanya dilihat sebagai satu sub kontrak UMNO yang disalah berikan. Perjuangan Melayu cara progresif perlu di tuntut. Salah satu tuntutannya yang sepatutnya diperjuangkan adalah untuk mengadakan struktur sosial ekonomi yang lebih kukuh buat orang Melayu. Kekuatan Melayu memang sudah luntur – dari sudut politik dan sudut ekonomi pula – ia terhapus, maka untuk menunjukkan keikhlasan perjuangan, maka kepimpinan harus bersih dari kotoran politik demi mengadakan persepsi yang lebih kondusif dalam memperkatakan soal Melayu. Langkah dengan hanya menyerang – tidak akan membawa sebarang kejayaan – malah kekuatan Melayu yang hanya berpaut kepada kuasa politik sahaja tidak akan menjamin kekuatan Melayu. Kita perlu ingat bahawa kekuatan yang tidak pada teras akan membolehkan Melayu itu tumbang dengan mudah. Mengatur semula perjuangan Melayu perlu ada dan ini hanya boleh dilakukan atas landasan yang jelas dan telus.

Kita perlu juga sedar bahawa senario hari ini banyak mendedahkan Melayu kepada ancaman baru yang lebih mencabar dan sofistikated. Ancaman ini hadir atas perubahan sosioekonomi – kedudukan perekonomian dan kedudukan struktur kemasyarakatan Melayu itu sendiri. Dalam Malaysia yang mengutamakan pembangunan fizikal – kemiskinan bukan musuh utama tetapi tamak dan hilang nilai kemanusiaan adalah musuh utama yang di jana oleh diri sendiri demi untuk memenuhi tuntutan fizikal tadi. Ini adalah musuh utama yang melanda dan Melayu akan terjebak dalam kemiskinan ini atas tuntutan persekitaran yang mencabar.

Kita juga perlu ingat bahawa menyerang berlandaskan kekuatan dan berpegang pada kedudukan dan peruntukan politik sahaja tidak akan membantu kita sebagai orang Melayu. Kekuatan politik hanya bayang-bayang kerana persekitaran yang mendesak akan menjadikan kuasa itu bahan dagangan yang boleh dijual beli. Dalam keadaan ini – atas desakan yang tinggi tanpa nilai insaniah maka kuasa akan hanya dilacurkan dengan kondisi di mana rasuah menjadi sumber utama pendapatan. Lantas kuasa itu hanya komoditi yang sedang berada di pasaran kerana kelemahan sikap Melayu itu sendiri.

Usaha yang lebih kemas melibatkan usaha reformasi minda Melayu itu sendiri ini. NGO dan pertubuhan Melayu lain harus bertindak senada dengan usaha reformasi minda Melayu. Ini melibatkan desakan terhadap bangsa kita sendiri untuk melakukan perubahan dan ini dimulakan dengan mengkritik bangsa kita – kepimpinan kita dan polisi yang tidak menguntungkan kita. Kita harus lebih peka dengan kedudukan Melayu itu – kelemahan kita dan mengukuhkan kedudukan kita. Kita tidak memperkukuhkan apa yang telah diperuntukkan dan yang penting adalah untuk menjadikan bangsa itu kuat pada teras dan bukan gah pada kulitnya sahaja.

Oleh sebab itu kita persoalkan diri kita dan kepimpinan kita dalam usaha untuk mengukuhkan Melayu itu sendiri dari aspek minda dan kekuatan pada teras – merangkumi ekonomi, sosial dan politik. Di situlah baru kita ukur kekuatan Melayu dan dengan pengukuhan itu maka penghormatan hadir dan tidak dipaksa ke atas kaum lain terhadap kita.

http://umno-reform2.com/front/index.php?option=com_content&task=view&id=775&Itemid=58

No comments

Powered by Blogger.