Perpaduan Melayu: Kenyataan Harussani satu fitnah, kata PAS

KUALA LUMPUR, 19 Julai — PAS mengulangi pendirian hanya akan bersama Pakatan Rakyat sambil menyifatkan kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria bahawa wakil parti Islam itu ada menemuinya untuk meminta menjadi orang tengah sebagai “satu fitnah dan pembohongan.”

Dua naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub menegaskan, pihaknya tidak pernah memutuskan untuk meminta Harussani agar menguruskan pertemuan Umno-PAS bagi membincangkan penyatuan orang Melayu dan Islam.

“Kenyataan Tan Sri Harussani (kelmarin) satu fitnah dan pembohongan,” kata Salahuddin pada sidang media di sini hari ini.

Pendirian itu disokong oleh Mahfuz dengan menegaskan, PAS tidak pernah membincangkan isu berkenaan sama sekali.

“Tidak ada, ia (kenyataan Harussani) cuba memburukkan dan menimbulkan keraguan di kalangan rakyat seolah-olah ada pemimpin PAS yang hendak membelakangkan parti dalam isu ini,” kata Mahfuz yang turut menghadiri sidang media itu.

Tambah Mahfuz, Harussani perlu mendedahkan jika benar ada pemimpin PAS yang telah menemui beliau memandangkan komponen Pakatan Rakyat tidak pernah berbuat demikian.

Salahuddin menjelaskan, beliau dan Mahfuz lazimnya menghadiri kesemua mesyuarat utama parti tetapi setahu mereka PAS tidak pernah membincangkan langkah untuk menghantar wakil menemui Harussani bagi tujuan tersebut.

“Kami sudah memutuskan... kami sudah tutup bab tentang perbincangan mengenai kerjasama politik dengan Umno,” kata Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

“Kalau PAS ada membincangkan soal ini, sudah pasti saya dan Datuk Mahfuz sudah tahu,” katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada ada pihak tertentu dalam PAS yang menemui Harussani, Salahuddin berkata, “yang itu saya tidak tahu.”

Mahfuz bagaimanapun menambah, beliau menghargai kenyataan terbuka Mufti Perak bahawa “kuasa orang Melayu di bawah pimpinan Umno” akan hilang.

“Saya tabik kepada Tan Sri Harussani kerana dapat membuat tilikan politik dengan tepat, dan membuat perakuan macam itu, tetapi orang Melayu tidak perlu risau dan bimbang kepada kuasa orang Melayu akan tetap kekal tetapi menerusi kepimpinan PAS dalam Pakatan Rakyat, kuasa Melayu akan lebih mulia dan dihormati tanpa Umno-BN,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena ini berkata kenyataan Harussani dengan sendiri menunjukkan bahawa akan wujud “satu kuasa baru orang Melayu dengan kerjasama pelbagai kaum” menerusi Pakatan Rakyat.

“PAS akan menghadapi pilihan raya umum dengan kerjasama dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad juga menafikan pihaknya pernah menghantar wakil untuk bertemu dengan Harussani agar mengaturkan perbincangan bersama Umno bagi membincangkan usaha menyatupadukan orang Islam dan Melayu.

Idris memberitahu, Harussani kemungkinan bercakap berdasarkan perbualan tidak formal dengan beberapa pemimpin PAS tetapi ia tidak direstui oleh parti itu.

Kelmarin, Harussani mendedahkan bahawa beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau ini.

Namun beliau berkata beliau tidak pernah berputus asa demi mengekalkan kebaikan dan perpaduan umat Islam di negara ini, khususnya antara parti Umno dan PAS.

“Masih ada harapan (ke arah perpaduan orang Melayu), jika kita bijak mengutamakan perkara yang lebih penting ke arah mencapai matlamat ini.

“Harapan itu ada kerana kedua-duanya (Umno dan PAS) memang hendak bersatu. Itulah cita-cita saya,” katanya di Ipoh selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak anjuran Gagasan Melayu Perak.

Harussani berkata, terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Bagaimanapun katanya, beliau telah menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara tersebut bagi kedua-dua belah pihak.

No comments

Powered by Blogger.