Perpaduan penting dalam Islam, kata penasihat agama PM

BESUT, 19 Julai — Isu perpaduan perlu diambil serius oleh umat Islam sendiri kerana ia merupakan sesuatu yang dituntut oleh agama, kata Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Md Zin.

Beliau berkata wajib bagi umat Islam terutamanya pemimpin supaya menyatukan kembali perpaduan Melayu di negara ini kerana dibimbangi jika perpecahan dibiarkan berterusan, ia bukan sahaja menjejaskan keharmonian negara tetapi juga kemuliaan agama Islam itu sendiri.

“Perpaduan itu adalah sesuatu yang wajib manakala perpecahan pula hukumnya haram,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas isu berkaitan perpaduan antara Umno-PAS.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak bertolak ansur dalam memastikan perpaduan di kalangan Umno-PAS dapat direalisasikan dengan mengetepikan soal-soal kepentingan parti.

Abdullah turut menyokong langkah Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang menawarkan diri untuk menjadi orang tengah untuk kedua-dua parti itu kerana langkah itu bertepatan demi perpaduan umat Islam.

“Banyak hadis berkaitan perpaduan yang kita ketahui menganjurkan tentang perpaduan dan oleh kerana itu soal perpaduan tidak patut dipertikai oleh umat Islam itu sendiri,” katanya. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.