PETRONAS Dah Jadi Macam Beg Duit UMNO/BN

Jangan Anggap Petronas Kantong Kerajaan

Oleh Rusnizam Mahat

SHAH ALAM 14 Julai - Kerajaan perlu berhenti menganggap Petronas sebagai tabung kerajaan dengan melakukan pelbagai campurtangan terhadap pengurusan syarikat petroleum negara itu sehingga menjejaskan produktiviti dan keuntungan syarikat berkenaan, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Beliau merujuk kepada laporan media pada 2 Julai lalu yang mengumumkan keuntungan Petronas menjunam daripada 24.5 peratus kepada RM67.3 bilion pada tahun kewangan 2010, manakala keuntungan diberikan kepada kerajaan berkurangan sebanyak RM16.4 bilion kepada RM57.6 bilion.

Laporan itu juga menjelaskan bahawa Petronas mengumumkan untuk mengekalkan dividen sebanyak RM30 bilion kepada kerajaan iaitu jumlah yang sama pada 2009 meskipun mengalami penurunan perolehan."Ketua Pegawai Eksekutif Petronas yang baru, Datuk Shamsul Azhar Abbas menyatakan keuntungan sebelum agihan dividen berjumlah RM10.3 bilion, menurun 52.2 peratus dari tahun sebelumnya, dan memberi amaran bahwa 'pembayaran dividen boleh menyekat rancangan pertumbuhan kumpulan untuk menjana keuntungan hasil pada masa akan datang," ujar Tony.

Tony berkata, Petronas dalam kenyataan media turut mengakui syarikat itu berhadapan dengan cabaran dan kesulitan dalam suasana industri yang begitu sukar.

Ini berikutan kadar perolehan Petronas semakin menurun melainkan syarikat itu mempunyai kedudukan kewangan yang kuat untuk meneroka lebih banyak pelaburan dan projek carigali minyak baru.

Menurutnya lagi, pengunaan keuntungan Petronas antara 2005 sehingga 2010 menunjukkan jumlah keuntungan Petronas untuk pelaburan semula merosot daripada 42.5 peratus pada 2005 kepada yang terendah iaitu 13.5 peratus pada 2010.

"Nisbah pembayaran dividen mencecah 74 peratus pada 2010 berbanding dengan 57 peratus pada 2009 dan sebahagian besarnya lebih tinggi daripada lazimnya kes pada tahun sebelumnya seperti didedahkan oleh Petronas.

"Pada 2005, dividen kepada kerajaan hanya RM9.1 bilion, sebelum ia dinaikkan kepada RM13 bilion (2006), RM20 bilion (2007), RM24 bilion (2008) dan RM30 bilion (2009). Syarikat secara jelas tidak lagi mampu mengekalkan dividen-dividen melangit untuk kerajaan berikutan kejatuhan mendadak dalam keuntungannya," jelas beliau lagi.

Menurutnya, dividen yang perlu dibayar Petronas perlu berdasarkan kepada keperluan syarikat dan tidak boleh menurut kehendak pemegang saham seperti mana dalam kes kerajaan Malaysia.

"Kerajaan Malaysia tidak seharusnya menggunakan Petronas seperti satu tabung yang dapat dipecahkan untuk menambahkan dana perbendaharaan persekutuan sesuka hati.

"Kekurangan dana untuk pelaburan semula hanya akan menghalang keupayaan Petronas' untuk menjamin hasil pada masa depan, mengurangkan produktiviti jangka panjangnya, keuntungan serta kecekapannya," tegas Tony.

Justeru beliau menggesa Perdana Menteri melindungi Petronas bagi memastikan syarikat itu terus bertahan bagi meningkatkan dan mengekalkan keuntungan kepada rakyat Malaysia dalam jangka panjang.

Pertama, dengan memastikan Petronas mengekalkan sekurangnya 50 peratus dari keuntungannya bagi pelaburan semula.

Kedua, memastikan keuntungan dilaburkan hanya dalam sektor ekonomi yang perlu dan produktif seperti modal insan, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau.

Ketiga, memastikan sekuranya 20 peratus perolehan diselamatkan dalam pakej stimulus kebangsaan untuk digunakan ketika ekonomi menghadapi cabaran sekiranya pertumbuhan melebihi tiga peratus setahun.

1 comment

Unknown said...

kalau jadi beg duit Bn mmg tak boleh, kalau jadi beg duit pas takpe, cakap pun mcm dengki je bunyinye, ada berbau mcm nak ambil alih je..hehe..kalau lu org dapat ini minyak..mmg berkokok sampai terkeluar anak tekaklah jawabnya..dapat pasir pun tak ingat dunia..inikan dapat minyak..

Powered by Blogger.