PKR Hargai Pengorbanan Reformis Wanita PKR.

Oleh Fazy Sahir

KUALA LUMPUR: Semangat perjuangan menuntut keadilan bagi mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 lalu, membuka lembaran baru buat reformis di kalangan wanita ini.

Mereka ini tidak memegang sebarang jawatan besar mahupun dikenali ramai, namun mereka dianggap sebagai ‘wanita luar biasa’ kerana berjaya mengharungi cabaran dan liku-liku hidup bergelar reformis dalam memperjuangkan keadilan buat Anwar dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut Ketua Wanita Wilayah Persekutuan Felicia Ling, anugerah diberi kepada sembilan reformis wanita berdasarkan umur 60 tahun dan keatas bagi menghargai jasa dan kesetiaan mereka sepanjang 12 tahun berjuang.

Mereka ini terdiri daripada ibu-ibu tunggal yang sentiasa komited untuk parti dan akan berjuang bersama sehingga akhir hayat mereka.

Antara penerima anugerah itu adalah Zabidah Abdullah, Ishah Hassan, Hasnah Idris,Aishah & Ainon Kamariah Long, Aishah Mohd Tawil, Sharifah Aishah Johari, Siti Sabariah Arshad, Maznah Mohd Dubi dan Ainon Naim.

Menurut Felicia, anugerah konvensyen wanita peringkat Wilayah Persekutuan ini pertama kali diadakan ini diharap dapat dibuat setiap tahun.

"Bagi menghargai pengorbanan dan kesetiaan mereka, pihak Wanita Keadilan Wilayah Persekutuan membuat keputusan untuk mendokumenkan pejuang reformis wanita ini pada masa depan.

"Malah kami berharap dapat menjadikan majlis penganugerahan ini sebagai majlis tahunan sebagai memberi penghargaan kepada mereka," katanya selepas penyampaian anugerah kepada penerima di sini hari ini.

Ketika ditanya pemberita mengenai kaum-kaum lain dalam penyertaan anugerah itu, Felicia berkata "Pencalonan diberikan oleh setiap cabang, namun setakat ini calon wanita daripada kaum lain belum memenuhi kriteria kami.

"Namun kami masih mengalu-alukan pencalonan daripada semua kaum termasuklah daripada kaum asal pada masa akan datang," kata beliau.

Berjuang untuk Parti Hingga AKhir Hayat

Dalam pada itu, Aishah Mohd Tawil,72, menceritakan pengalamannya yang pernah Aishah Mohd Tawil dikasari oleh polis ketika menyertai demonstrasi di Masjid Negara suatu ketika dulu.

"Masa demonstrasi dulu saya ketika itu berumur 60 tahun. Saya pernah kena pemancut air oleh FRU, pernah dilempang polis tapi saya lawan. Tapi polis tetap kejar saya sehingga saya lari balik ke rumah di Kampung Baru ketika itu," katanya cukup sugul menceritakan pengalaman dikasari polis ketika itu.

Ainon Naim, 72, yang dahulunya berjuang untuk Umno-Barisan Nasional, beralih semangat dengan terus menjadi reformis dan berjuang untuk PKR.

Semuanya berubah ekoran tidak tahan melihat Anwar diseksa dan terus difitnah maka beliau bersama-sama suami berjuang bagi menuntut keadilan bagi Anwar.

"Daripada saya muda saya bersama Umno-BN, tapi masa tahun 1998 saya tidak tahan lihat Anwar diperlakukan seperti itu, saya menitiskan air mata lihat Anwar dan keluarga difitnah. Saya tidak percaya dengan apa yang terjadi, maka saya dan suami sama-sama berjuang menjadi reformis untuk tuntut keadilan bagi Anwar dan Keadilan.

"Sehingga sekarang pun kami akan lakukan sehingga akhir hayat kami," katanya.

No comments

Powered by Blogger.