Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat: Langkah Selangor Bertaraf Dunia

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 15 Julai - Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor sekali lagi mencatat sejarah apabila muncul sebagai peneraju di Malaysia yang memperkenalkan Rang Undang-Undang Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010 mendahului Kerajaan Persekutuan dalam memupuk semangat ketelusan dalam pentadbiran negeri.

Malah langkah kerajaan negeri Selangor menyamai tindakan sama oleh lebih 80 negara di seluruh dunia yang juga telah memperkenalkan undang-undang kebebasan maklumat.

Rang undang-undang tersebut telah dicadangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor Bukit Lanjan, Elizabeth Wong ketika membahaskannya pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini semalam.

Elizabeth berkata, Rang Undang-undang ini bertujuan mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam dalam memberi peluang kepada orang awam untuk akses kepada maklumat yang dibuat oleh setiap jabatan kerajaan negeri.

"Pendirian kerajaan negeri terhadap ketelusan telah dibuktikan dengan jelas selama pentadbiran Pakatan Rakyat ini.

"Prinsip ini telahpun kerajaan negeri lakukan seperti pengisytiharan harta oleh barisan Exco, pembentukan jawatankuasa Selcat dan tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mendeklamasikan dokumen-dokumen Akta Rahsia Rasmi (OSA) di bawah kuasa Menteri Besar," jelas beliau.

Beliau juga berkata, setiap jabatan di bawah kerajaan negeri akan melantik seorang pegawai maklumat yang berfungsi sebagai perantara jabatan dengan orang awam dalam permohonan maklumat.

Katanya, semua permohonan perlu ditujukan kepada pegawai maklumat yang berkenaan dan beliau wajib memberi jawapan dalam masa 30 hari ataupun tujuh hari dalam kes-kes kecemasan.

"Kerajaan Selangor tidak berhasrat untuk menunggu Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan, maka sebab itulah kami menjadi peneraju ke arah menggubal Rang Undang-Undang Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010," jelas Elizabeth.

Menurut beliau, Rang Undang-undang ini akan dikaji oleh Jawatankuasa Pilihan Khas dan sesi perundingan awam akan diadakan.

Jawatankuasa ini katanya, akan membentangkan keputusan, cadangan dan atau pindaan di Dewan selewat-lewatnya pada April 2011.

Dalam pada itu, beliau juga menyuarakan rasa kekesalannya apabila ADUN Permatang dari Barisan Nasional, Sulaiman Abdul Razak mendakwa Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat yang dibentangkan melampaui perlembagaan.

Berucap ketika membahaskan rang tersebut hari ini, Sulaiman juga berkata undang-undang tersebut menceroboh kuasa Perlembagaan Persekutuan kerana melampaui hak untuk menetapkan kerahsiaan sesuatu maklumat.

Tambahnya, peruntukan melibatkan perbuatan rasuah juga termasuk bawah bidang kuasa Perlembagaan Persekutuan dan tidak berhak diletakkan bawah kuasa kerajaan negeri.

Bercakap kepada Suara Keadilan selepas membentangkan Rang Undang-undang berkenaan, Elizabeth selaku pencadang menyangkal dakwaan Sulaiman seraya menyifatkan ADUN pembangkang itu tidak mendalami perihal undang-undang tersebut.

"Saya amat terkejut dan tidak menyangka kerana pihak daripada BN setakat ini menolak secara terbuka Rang Undang-undang mengenai kebebasan maklumat kerana saya merasakan ini satu Rang Undang-undang yang memang bagus untuk rakyat di Selangor," komen beliau.

Beliau menegaskan untuk menggubal undang-undang di bawah kerajaan negeri Selangor, ia tidak memerlukan kebenaran daripada Kerajaan Persekutuan tetapi bergantung kepada keputusan kerajaan negeri sendiri.

"Saya juga rasa ada beberapa perkara yang mereka tidak begitu faham iaitu isu bidang kuasa kerajaan negeri dan juga isu Perlembagaan yang mereka bangkitkan tetapi apa yang kita telah buat adalah dengan memastikan untuk tidak mencerobohi bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

"Ini juga tidak ada apa-apa percanggahan dengan Perlembagaan dan Kerajaan Persekutuan bermakna apayang ingin kita gubalkan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Selangor.

"Memang kita tidak perlu kebenaran daripada pejabat atau pun kamar Peguam Negara untuk menggubal undang-undang dalam negeri sendiri, bukan untuk mereka untuk mengatakan ya atau tidak, ia terserah kepada kita (kerajaan negeri) yang kata ya atau tidak.

"Bahkan Parlimen Malaysia mahupun pejabat Peguam Negara tidak pernah menghalang Kerajaan Negeri Selangor atau mana-mana kerajaan negeri di bawah persekutuan untuk menggubal satu rang undang-undang mengenai kebebasan maklumat.

"Kita juga tidak pernah menerima apa-apa maklum balas dan maklmuat yang saya dapat adalah peguam negara ingin mengkaji rang undang-undang kita.

"Jadi saya rasa sebelum ada salah sangka, biar kita luluskan dan selepas ini saya akan menubuhkan jawatankuasa khas secara mendalam untuk mengkaji secara lebih mendalam tentang rang undang-undang ini," jelas Elizabeth lagi.

No comments

Powered by Blogger.