Rentak Juara dicemari unsur-unsur punk?

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjG9GFBkw8rxeeYQmdBEDMU8hFAbhO0Df8UP17aQNx59zHVvOaR6W_folCSK615hGGfQuGrQgt6S4iHb4LBVeEGKRgnkV4VGKWdnLjB_HMyS-Non6yZd-gsqD9v9pO1_kdVKXh9A8FSX24/s320/RENTAK.jpg

SAYA tidak mahu komen apa-apa tentang juri atau persembahan kumpulan rock yang menjayakan pertandingan Rentak Juara yang berlangsung di Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tunku Muhammad, Negeri Sembilan pada malam 17 Julai lalu.

Apa yang terkilan dan rasa agak kecewa adalah bagaimana peserta pertandingan berambut punk berwarna-warni serta ada yang panjang seperti rambut perempuan dibenarkan mengambil bahagian.

Suatu ketika dahulu stesen itu begitu berat dalam soal begini seperti mengetatkan peraturan disiplinnya di mana semua artis lelaki yang hendak serta dalam apa juga program dimestikan berambut pendek, rambut tidak boleh mencecah bahu dan berpakaian tidak melampau serta penampilan diri hendaklah sentiasa kemas.

Lebih mengecewakan adalah penampilan rambut hos rancangan itu sendiri tiada langsung menampakkan ciri-ciri untuk dicontohi sebagai rakyat Malaysia yang kaya dengan budaya ketimuran serta nampak kemas sepanjang masa.

Sepatutnya stesen itu memberikan contoh teladan yang baik terutama sekali dalam membudayakan rakyat Malaysia dengan kesopanan dan adat resam kita yang mengutamakan kesederhanaan dalam apa juga aktiviti.

Kita tidak mahu dijadikan contoh atau ikutan anak-anak muda kita berpakaian dan berambut ala punk itu.

Diharap pihak terbabit dapat menjagakan imejnya sebagai saluran media elektronik yang berpengaruh dan popular serta disegani di negara ini kerana kita tidak mahu budaya kuning dari Barat itu dijadikan ikutan remaja kita.

Masalah dadah dan keruntuhan akhlak di kalangan remaja kini menjadi-jadi dan ia perlu ditangani sebelum terlambat.

Bagaimanapun tahniah kepada yang menang dan hadiah yang lumayan itu pastikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan Seremban

No comments

Powered by Blogger.