Saman Ekor UMNO Sanggup Tanggung Risiko

Maafkan saya - jika luahan ini tidak sekata dan seia dengan pihak kerajaan. Isu saman ekor, bukanlah isu baharu di negara ini. Ia sudah lama berlarutan dan pelbagai pihak sudah menegur kaedah yang digunakan oleh polis dalam mengendali masalah ini. Izin saya bercakap daripada suara hati rakyat bawahan yang setiap hari kehidupan kami adalah di jalan raya. Saya memandu kereta sejak tahun 2004 dan sehingga hari ini, saya tidak pernah disaman - namun demikian, itu tidak bermakna saya bersetuju bahawa kaedah saman ekor tersebut sangat pratikal dilaksanakan di negara ini. Baca di sini.

Saman ekor sudah dibincang dari semua aspek, baik pro mahu pun konnya - namun demikian, yang menjadi masalah dalam kalangan rakyat bukanlah saman ekor - tetapi cara saman ekor itu dilaksanakan. Menjadikan saman ekor sebagai beban kepada rakyat sehingga sesiapa yang tidak menjelaskannya, maka cukai jalan kenderaan mereka tidak akan diperbaharui, hanya mengundang amarah rakyat - dalam keadaan sekarang, segala tindak-tanduk kerajaan melalui agensi-agensinya akan dilihat melalui kaca mata politik dan bukan melalui kaca mata kematangan. Sejak kerajaan menguatkuasakan arahan "menyenaraihitamkan" nama-nama individu yang degil untuk membayar tonggakan hutang saman ekor - keluhan rakyat sudah dirasai. Ketika saat ini - sama ada kita sedar mahu pun tidak , sesungguhnya pandangan dunia (world view) orang Melayu terhadap sesuatu isu atau tindakan kerajaan - perhitungannya adalah politik. Sudah tiada perhitungan lain. Baik isu agama, isu undang-undang, isu pendidikan, isu keselamatan - semuanya akan dipolitikan semaksimum mungkin.

Sebahagian besar kehidupan masyarakat Melayu pada ketika ini, sama ada nilai hidupnya, pandangannya, agamanya, dan pendiriaannya - banyak ditentukan oleh pengaruh politik. Adakalanya - sehingga satu peringkat, masyarakat Melayu sudah hilang pertimbangan waras, sehinggakan antara undang-undang, mahkamah dengan UMNO sudah tidak ada bezanya lagi, dari sekecil-kecil perkara, umpamanya seorang individu mendapat kontrak membaiki longkang di sebuah sekolah di pedalaman Pahang sehinggalah sebesar-besar perkara seperti isu kerugian yang dialami Sime Darby - semuanya akan dikaitkan dengan politik!

Rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu terlalu sukar untuk memisahkan diri mereka daripada pengaruh politik. Isu saman ekor - sekali pun ia sangat baik dari segi pelaksanaan undang-undang dan pihak kerajaan bentangkanlah segala pandangan pakar yang mendakwa saman ekor ini sangat baik bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya - rakyat bawahan, tetap tidak akan dapat menerimanya, walaupun dengan seribu alasan.

Tuduhan-tuduhan tidak berasas sudah mula kedengaran - bagi menunjukkan kebencian mereka terhadap penguatkuasaan saman ekor yang dilaksanakan pada hari ini. Kata-kata seperti, "Ini membuktikan kerajaan sudah tiada duit, UMNO guna cara ini untuk dapatkan duit segera" - semakin kuat kedengaran. Saman ekor tidak akan dilihat dari kaca mata perundangan dan keselamatan - sebaliknya, rakyat melihat pelaksanaan "keras" saman ekor baru-baru ini - sebagai, sebahagian daripada bentuk-bentuk kezaliman kerajaan UMNO kepada rakyat marhaen. Menekan rakyat dengan cara zalim, kerana terdapat ramai pemandu yang merungut bahawa mereka tidak dapat notis saman ekor - dan dengan tiba-tiba nama mereka sudah disenaraihitamkan di JPJ. Mereka mendakwa - berapa ramai dalam kalangan kita yang benar-benar meneliti saman ekornya di skrin Polis Trafik? Atau kita tanpa banyak cakap terus membayar saman tersebut tanpa menyelidik terlebih dahulu? Benarkah kita bersalah memandu lebih had laju atau mungkin terdapat kesilapan ternikal yang dilakukan oleh pihak polis.

Banyak kes sudah dilaporkan berhubung nombor plat pendaftaran kereta yang serupa, sekali gus menyebabkan pihak polis tersalah mengeluarkan saman ekor. Pada ketika ini, saman ekor hanya mengundang amarah rakyat - dan UMNO berhadapan dengan risiko kehilangan undi atas faktor tersebut. Budaya orang Melayu, sudah terbukti "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga" - orang Melayu, kerana perkara yang kecil, mereka sanggup menukar kerajaan dan hilang pertimbangan akal, bahkan pada saat ini orang Melayu kelihatan sangat sensitif dan mudah terasa hati - silap haribulan UMNO hilang undi. Bersediakah kita dengan realiti ini? Wallahualam.

http://azlishukri.blogspot.com/2010/07/saman-ekor-umno-sanggup-tanggung-risiko.html

No comments

Powered by Blogger.