Sanusi: Golongan muda, tua pandang beza kerjasama Umno-PAS

KUALA LUMPUR, 25 Julai — Veteran Umno Tan Sri Sanusi Junid berkata beliau berpendapat cadangan kerjasama antara PAS dan Umno mendapat reaksi berbeza antara beberapa kelompok.

Beliau berkata golongan muda lebih bersikap terbuka kerana mereka tidak pernah terlibat dengan penyertaan PAS dalam Barisan Nasional (BN) pada tahun 1969 dan mereka juga berfikir demi kepentingan Melayu.

Bagaimanapun menurutnya golongan lama pula yang pernah terlibat semasa PAS menyertai BN, mungkin ada rasa terkilan antara mereka semasa parti itu bersama dengan BN ketika itu.

“Satu kelompok lagi ialah penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ada dalam PAS. Mereka ini sedang tunggu isyarat daripada pemimpin parti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan penubuhan serentak Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sanusi yang juga Presiden Kelab Veteran Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) berkata Umno dan Pas perlu berhenti menggunakan kata-kata kesat sekiranya ingin menjalin kerjasama pada masa akan datang. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.