Saya Hanya Mahu Membantu FAM - Annuar Musa

KOTA BAHARU, 24 Julai (Bernama) -- Salah seorang calon bagi jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa berkata kejayaan beliau menaikkan nama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bukan berupa tiket untuk beliau dipilih menjawat jawatan Timbalan Presiden FAM.

"Jauh sekali untuk saya menonjolkan diri sebagai hero dalam bidang pengurusan bidang bola sepak musim ini," katanya yang juga Presiden KAFA, apabila ditanya mengenai kesungguhan beliau bertanding jawatan nombor dua persatuan induk bola sepak negara itu.

Pemilihan barisan kepimpinan baru FAM bagi penggal 2010-2014 akan ditentukan pada 31 Julai ini dan buat pertama kali jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Eksekutif (Exco) menjadi rebutan ramai calon dan penyandang.

Selain Annuar yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden bagi mengisi dua jawatan tersebut, calon lain ialah Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Datuk Seri Redzuan Tan Sri Sheikh Ahmad, Datuk Che Mat Jusoh dan Datuk Mokhtar Ahmad.

Seorang lagi calon, Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan telah menarik diri.

"Apa yang penting penglibatan saya ialah untuk cuba membawa perubahan ke arah penambahbaikan negara dalam bidang bola sepak menerusi satu pasukan dan satu suara dalam FAM," kata Annuar.

Beliau berkata beliau hanya berminat untuk membantu Presiden FAM ke arah kebaikan mutu persatuan di peringkat nasional dan antarabangsa dan tidak berniat untuk mencabar sesiapa.

"Jauh di sudut hati saya, saya ingin membantu apa yang terdaya tugas-tugas yang dijalankan oleh penjawat nombor satu dalam persatuan induk ini," katanya.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.