Soi Lek Kecewa MT UMNO Lebih Berkuasa

Judi sukan: Keputusan di tangan kabinet bukan Umno
//
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek melahirkan kebimbangannya bahawa keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membenarkan Majlis Tertinggi Umno menolak cadangan memberikan lesen judi sukan akan menjadi sebagai satu ‘precedent’ yang bahaya.

Katanya, sewajarnya, keputusan ditentukan oleh jemaah menteri dan bukannnya Umno kerana ia menimbulkan tanggapan bahawa parti komponen BN yang lain di bawah telunjuk Umno.

“Kami berasa kecewa…Ia sepatutnya diputuskan pada peringkat kabinet, supaya semua pihak komponen dapat memberikan pandangan mereka,” kata Chua pada sesi wawancara khas dengan beberapa media terpilih di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 25 Jun lalu, Najib mengumumkan bahawa majlis tertinggi Umno sebulat suara menolak cadangan kerajaan persekutuan untuk memberi lesen judi sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd yang dimiliki oleh jutawan Tan Sri Vincent Tan. (Malaysiakini)

Sejak PRU 2008, parti komponen BN sedaya upaya cuba menyakinkan rakyat Malaysia bahawa mereka tidak berada di bawah ketiak UMNO. Orang Cina marah apabila tahu pemimpin mereka bernafas di hujung telunjuk UMNO. Orang India marah apabila sedar pemimpin mereka hanya reti mengangguk kepada UMNO. Orang Sabah dan Sarawak melenting apabila diberitahu pemimpin mereka dikuasai UMNO. Mereka tidak dapat terima UMNO jadi taiko mereka. Mereka tidak sudi pemimpin mereka dijadikan boneka.

Akibatnya sewaktu PRU 2008 akan berlangsung, pemimpin bawahan komponen BN dihantar mesej ringkas – “Mari kita hukum keangkuhan UMNO!” Hukuman pun dilaksanakan dalam PRU 2008. Namun, hukuman tersebut tersasar menyebabkan parti komponen BN turut terkena balanya. Kenapa? Kerana penyokong UMNO bertindak balas menolak pemimpin komponen BN. Lalu BN hampir tersungkur.

Hukum-menghukum sesama penyokong BN membawa petaka. Lantas mesti dihentikan. Jiakalau orang Cina dan India asyik menghukum UMNO dan orang Melayu-UMNO menghukum MCA, MIC dan Gerakan, maka BN akan tinggal bangkai.

Oleh itu, selepas PRU 2008, pemimpin BN pun berusaha memberitahu penyokong mereka bahawa itu semua salah faham belaka. Fitnah semata-mata. Kerja pembangkang gila kuasa yang cuba memecah-belahkan BN. Semua komponen BN berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dan tidur sama berdengkur.

Kuasa mereka sama hebat dengan kuasa UMNO. Suara mereka sama lantang dengan suara UMNO. Setiap keputusan BN dibuat bersama-sama oleh kesemua parti komponennya. Pembohongan ini wajib disebarkan bagi meredakan kemarahan penyokong parti komponen terhadap UMNO.

Namun, tiba-tiba isu judi bola muncul. Parti komponen BN sokong lesen judi ini dikeluarkan. Maklumlah orang Cina dengan judi umpama aur dengan tebing. MCA dan Gerakan merasakan lesen judi bola mampu mengembalikan keyakinan orang Cina terhadap mereka.

Akan tetapi bantahan daripada pelbagai NGO Muslim dan non-Muslim menyebabkan Perdana Menteri berasa gerun. Maka dengan alasan agama dan kepentingan politik, Perdana Menteri mengumumkan MT UMNO membatalkan lesen judi tersebut. Tercengang parti komponen BN. Kenapa MT UMNO yang membatalkannya? MCA, Gerakan, MIC dan komponen di Malaysia Timur langsung tidak diajak berbincang terlebih dahulu?

Hanya MT UMNO membuat keputusan. Parti komponen dan penyokong mereka tergamam apabila MT UMNO dilihat lebih berkuasa daripada Kabinet. Hakikatnya memang begitu. Dan inilah salah satu sebab mengapa ramai ahli parti komponen BN lari meninggalkan parti. Mereka tidak akan kembali lagi walaupun dipujuk dan dibeli, kecuali yang berdarah katak!

http://satumalaysia.wordpress.com/2010/07/05/soi-lek-kecewa-mt-umno-lebih-berkuasa/

No comments

Powered by Blogger.