Sotong kurita pilih Sepanyol, Belanda pilihan burung kakak tua

BERLIN, 9 Julai — Tinggal tiga hari menjelang final Piala Dunia 2010, fokus dunia menghala ke Jerman hari ini di mana sotong kurita “Paul” membuat ramalan terbesar dalam kejohanan ini - Sepanyol akan menewaskan Belanda awal pagi Isnin ini (waktu Malaysia).

Paul tidak membuat kesilapan dalam ramalannya dari akuarium di Oberhausen Sea Life sejak kejohanan ini bermula sebulan lalu.

Stesen-stesen TV Jerman, Great Britain, Taiwan dan beberapa tempat lain menyiarkan secara langsung keputusan “Paul” hari ini.

Berjuta-juta peminat bola sepak mengikuti sotong kurita ini memilih peti lutsinar yang berbenderakan Sepanyol.

Ini kali pertama “Paul” diberikan tanggungjawab memilih bakal pemenang dalam perlawanan yang tidak melibatkan pasukan Jerman.

Sotong kurita “Paul” dengan tepat meramalkan Jerman akan menewaskan Argentina, England, Australia dan Ghana manakala ia akan tewas di tangan Sepanyol dan Serbia.

Bagaimanapun burung kakak tua bernama “Mani” dari Singapura pula memilih Belanda.

Belanda dan Sepanyol memasuki ke final masing-masing julung kali dalam tempoh 32 dan 44 tahun.

Sotong kurita “Paul” juga meramalkan bahawa Jerman akan menang dalam pertemuan dengan Uruguay dalam menentukan tempat ketiga dan keempat.

Mereka yang mengendalikan haiwan ini berkata mereka menjaganya dengan baik.

“Paul merupakan sotong kurita profesional. Ia tidak kisah langsung dengan kehadiran ratusan wartawan yang menyaksikan kemahirannya dan mengulas setiap gerak-gerinya,” kata Stefan Porwoll, pengurus akuarium Sea Life.

“Kami bangga dengan Paul,” kata beliau.

Sotong kurita “Paul” buat kali pertama telah memperlihatkan kemahirannya ketika kejohanan Juara Eropah 2008.

Porwoll memberitahu ekoran ratusan emel yang diterima daripada peminat bola sepak yang kecewa dengan prestasi Jerman dan juga ramalan “Paul”, pihaknya kini mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatannya.

“Saya juga telah meminta pengawal kami dan mereka di pintu masuk supaya berhati-hati dengan peminat bola sepak yang mungkin mahu membalas dendam terhadap Paul,” katanya.

Seorang pemberita dari Greece juga bertanya pada sotong kurita “Paul” agar meramalkan bila krisis kewangan dialami negaranya akan berakhir.

No comments

Powered by Blogger.