Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab: Tokoh Yang Dizalimi.

karangan : Mas’ud al-Nadwi

terjemahan : Mohd Amin Yaacob


Bab Kelima:

Pertuduhan serta pembohongan terhadap al-Syeikh Muhammad ‘Abd. al-Wahhab

dan pergerakan dakwahnya


Istilah Wahabi

Secara realiti pendustaan nyata terhadap pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam ialah mengelarkan mereka sebagai “al-Wahabiyyah” atau Wahabi. Golongan penentang berusaha sedaya upaya merujuk gelaran ini sebagai “kumpulan yang terkeluar dari agama Islam” atau “kumpulan yang mewujudkan agama baru”. Dalam konteks ini pihak Inggeris, Turki dan Mesir mempromosikan gelaran ini seolah-olah ia sejenis “hantu yang menakutkan” (syabhan mukhifan). Ini tatkala pergerakan al-Syeikh al-Imam berdiri teguh di pelbagai lapangan dan tempat sebagai sebuah pergerakan dakwah Islam. Pihak Inggeris melihat pergerakan ini sebagai sesuatu yang membahayakan kepentingan politik serta ekonomi sehingga melabelkannya sebagai “al-Wahabiyyah al-Najdiyyah”.

Pergerakan al-Sanusiyyah di Maghribi serta pergerakan pembaharuan (al-Tajdid) serta kepimpinan (al-Imamah) di India mempunyai pendekatan fekah serta perkara cabang lain yang berbeza dengan pergerakan dakwah penduduk Najd. Walaupun demikian kedua pergerakan ini tetap dilontarkan pertuduhan sebagai pergerakan Wahabi disebabkan usaha jihad mereka yang berterusan.

Merujuk percubaan memperkenalkan istilah Wahabi dengan gambaran madzhab baru serta kumpulan sesat, hakikatnya istilah yang digunakan ini dikritik dari segi sandaran. Sekiranya dinisbahkan kepada pengasasnya iaitu al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab sudah semestinya pengikut beliau digelar sebagai “Muhammadiyyun”. Namun sudah tentu golongan penentang tidak menghendaki merealisasikan matlamat pertuduhan serta pembohongan dengan melabelkan pengikut al-Syeikh al-Imam sebagai “Muhammadiyyun”. Oleh itu mereka menisbahkan pergerakan ini ke atas ayah al-Syeikh al-Imam iaitu al-Syeikh ‘Abd. al-Wahhab. Sehubungan ini gelaran “Wahabi” merupakan istilah yang sangat terkenal sehinggakan sejarawan serta penulis menisbahkan pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam kepada ayahnya ‘Abd. al-Wahhab. Contoh yang jelas [penulisan Bridges (Jil. 2/hlm.134)].

Zwemmer, ketua missionari terkenal turut membawa kenyataan palsu apabila mengatakan golongan Wahabi merupakan agama serta madzhab baru. Beliau seterusnya mengatakan Imam Ibn al-Qayyim (m.751M) mempunyai persamaan pemikiran dengan al-Syeikh al-Imam oleh itu Ibn al-Qayyim merupakan seorang Wahabi. Kenyataan Zwemmer berbunyi: “Ibn al-Qayyim merupakan seorang Wahabi namun dia menamakan dirinya Hanbaliyan (pengikut madzhab hanbali).”[1] Betapa bodoh si Zwemmer sehingga tidak mengerti bahawa istilah Wahabi hanya wujud 4 abad setelah Ibn al-Qayyim meninggal dunia.

Penulis tidak mempunyai maklumat kukuh mengenai individu yang mula menggunakan istilah Wahabi. Namun golongan penentang menggunakan istilah Wahabi terhadap pengikut al-Syeikh al-Imam ketika beliau masih hidup. Ini merupakan pandangan Margoliouth[2] serta selainnya.[3]

Neuber, seorang penjelajah Eropah yang hidup sezaman dengan al-Syeikh al-Islam tidak menggunakan istilah Wahabi. Jelas bahawa istilah ini tidak terkenal ketika itu (1764M). Sebaliknya beliau melabelkan pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam sebagai “agama baru” (New Religion).[4] Setelah beberapa tahun al-Syeikh al-Imam meninggal dunia, muncul beberapa penjelajah lain yang mengulas mengenai pergerakan penduduk Najd. Antaranya Ali Bek ‘Abbas Badia (m.1807M) dan Brockhardt (m.1814M). Badia berpeluang menziarahi Hijaz sebelum dikuasai tentera Mesir. Namun beliau tidak menyatakan sama ada istilah Wahabi digunakan ketika itu.

Brockhardt menziarahi Hijaz selepas ia dikuasai Muhammad Ali dan tenteranya pada 1229H/1814M. Beliau menghasilkan beberapa rencana mengenai golongan Wahabi pada 1816M. Penulisan beliau dikumpulkan sehingga menjadi 2 jilid bertajuk: Notes on the Bedouins and the Wahhabys. Dalam penulisan ini perkataan Wahabi digunakan secara meluas. ‘Abd. al-Rahman al-Jabarti (m.1238H) menerusi kitab sejarah yang ditulisnya turut menggunakan perkataan Wahabi secara meluas.[5] Mengulas peristiwa 1218H, al-Jabarti berkata: “Penduduk Mekah mendatangi jemaah haji serta menasihati mereka supaya melarikan diri dari “al-Wahabi”.”[6]

Ternyata menerusi kenyataan di atas istilah Wahabi tersebar luas ketika berlaku peperangan antara penduduk Najd dengan Mesir.


selanjutnya

http://www.hafizfirdaus.com/ebook/SMAW%20Dizalimi/bab5.2.htm#4

No comments

Powered by Blogger.