Tak cukup bukti, SPRM gugur kes rasuah Tee Keat, MB Selangor

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani


KUALA LUMPUR, 21 Julai — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menutup kes terhadap bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berhubung dakwaan menerima sumbangan RM10 juta dairpada seorang kontraktor, yang juga pemimpin Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional di Parlimen.

Selain kes Ong, jawatankuasa panel penilaian operasi SPRM juga memutuskan untuk menggugurkan kes terhadap Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ong didakwa menerima sumbangan atas nama parti daripada Datuk Seri Tiong King Sing iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), kontraktor projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Pengerusi panel itu, Tan Sri Hadenan Abdul Jalil memberitahu pemberita bahawa pihaknya menutup kes itu kerana tidak cukup bukti.

“Datuk Seri (Ong) memaklumkan bahawa beliau tidak terlibat dan kami ingin mengesahkan bahawa tiada tindakan susulan akan diambil kerana tidak cukup bukti.

“Kami ada seorang saksi tetapi individu ini yang membuat dakwaan tidak dapat mengesahkan siapa yang menerima wang itu.

“Atas sebab ini, panel bersetuju agar ini harus ditutup,” kata beliau.

Tiong mendakwa telah menyumbangkan RM10 juta kepada Ong dan wang itu digunakan untuk aktiviti bahagian parti itu.

No comments

Powered by Blogger.