Tambahkan keyakinan pengundi Melayu

Li Fook Gao

Mari bersemuka bersama naib presiden PAS

Soalan 1:

Pada pendapat Naib Presiden sekalian, apakah kelemahan yang ada pada parti PAS buat masa ini yang harus dibetulkan sebelum PRU13?

TITM: Kita perlu selesaikan segera keyakinan pengundi Melayu kepada kepimpinan PAS. PAS perlu mengambil alih kepimpinan dari Umno yang ternyata gagal menjaga agama, bangsa dan negara.

Pada peringkat nasional, keyakinan ini perlu disusun dengan pelbagai program ke arah pembinaan keyakinan itu.

Dari sudut negeri pula, kita perlukan kesungguhan untuk mendaftar pengundi baru. PAS perlu mengembeling tenaga bagi mendaftar khususnya pengundi muda. Gelombang kebangkitan Lembah Klang sangat perlu diwujudkan dan maklumat terkini perlu segera disalur kepada rakyat.

SA: Saya rasa yang penting sekarang adalah untuk meningkatkan keyakinan ahli-ahli di semua peringkat untuk bekerja dengan meningkatkan kekuatan jentera untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang. Kita tidak boleh menunggu di saat akhir untuk membuat persiapan kerana pilihanraya akan datang ini cukup penting bagi PAS dan Pakatan Rakyat, oleh itu persediaan awal perlu dibuat.

Di peringkat negeri, kita akan lebih fokus terhadap matlamat pencapaian kita dan kita akan melipat-gandakan lagi usaha jentera pilihanraya di negeri-negeri yang menjadi fokus kita.

MO: PAS perlu memperkasa keupayaan, kemahiran dan kemampuan dalam bidang kepakaran strategik. Kepimpinan parti perlu mendalami kepakaran yang berkaitan pemikiran strategik.

PAS perlu membelanjakan sejumlah wang yang besar dalam bidang-bidang yang boleh membawa pulangan hasil yang besar kepada keperluan politik PAS termasuk dalam bidang penyaluran maklumat melalui media khususnya media baru.

Di peringkat negeri, PAS perlu menyediakan kumpulan-kumpulan yang mampu membolos kumpulan masyarakat yang pelbagai khususnya golongan generasi muda.

Soalan 2:

Adakah Naib Presiden sekalian terpaksa mengabaikan tugas keluarga demi parti PAS akibat kesuntukan masa? Jika ya, apa pula cara Naib Presiden sekalian meluangkan masa yang ada untuk keluarga? Dengan masa yang suntuk, apakah aktiviti bersama keluarga yang paling digemari untuk mengekalkan ikatan kemesraan antara ahli keluarga?

SA: Saya rasa parti tidak menghalang saya untuk terus dekat dengan keluarga, cuma pengurusan masa perlu dibuat dan kesempatan-kesempatan seperti saat-saat keemasan saya bersama keluarga itu mesti dipenuhi dengan penuh tanggungjawab. Bagi saya, parti tidak pernah menghalang saya untuk membina keluarga bahagia.

Apabila ada masa lapang, saya sudah pasti mengambil kesempatan untuk mengajak keluarga saya untuk berehat dan berpiknik bersama-sama.

MO: Isteri dan anak-anak saya sudahpun biasa dengan keadaan berjauhan dan ditinggalkan oleh saya kerana kesibukan perjuangan - malah waktu perpisahan yang paling memeritkan apabila saya dipenjara dan di-ISAkan.

Sebagai ketua keluarga saya pasti menyediakan waktu untuk bersama. Paling kurang pun sebulan sekali membawa mereka keluar makan malam dan santai kena ais kacang – biasanya pada hari Khamis malam Jumaat.

Kadang-kadang saya masak untuk isteri dan anak-anak. Mereka sangat suka kalau saya masak ayam golek Kedah. Kalau sapa nak rasa kena jadi isteri saya dulu… ha...ha...ha.... Inilah resepi hidup saya sekeluarga.

TITM: Kesibukan tugas jamaah menyebabkan masa dengan keluarga sangat terhad. Isteri banyak membantu mengatasi kelompang ini.

Saya biasanya menggunakan waktu tiada program luar untuk membawa keluarga makan di luar atau berkelah, berkhemah di mana-mana pantai atau sungai. Biasanya kalau musim cuti sekolah mereka akan ikut sama dalam program.

Soalan 3:

Dengan hanya satu ayat menjawab soalan ini, apakah jawapan Naib Presiden sekalian kepada penyelesaian masalah remaja yang rosak pada hari ini?

MO: Sayangi, dekati dan jadikan remaja sebagai kawan kita serta bimbinglah mereka.

TITM: Islam adalah penyelamat manusia dunia dan akhirat jadi kita perlu segera memenangkan Islam bagi menyelamatkan negara dan umat.

SA: Bagi saya, kita mesti menjadi “duta penyelamat kasih sayang kepada remaja” – istilah yang pernah saya cerita waktu saya jadi Ketua Pemuda PAS dulu.

Kolum mingguan baru “MINDA NAIB PRESIDEN PAS” akan memaparkan komen-komen esklusif daripada 3 Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Yang Berhormat Saudara Salahuddin Ayub.

Setiap minggu, dua hingga tiga soalan akan ditanya kepada tiga ahli berhormat PAS yang merangkumi semua aspek termasuk isu semasa, isu politik, isu dalaman PAS, prediksi, isu keluarga, agama dan juga soalan-soalan terpilih daripada pembaca supaya kita dapat mengenali ketiga-tiga Naib Presiden PAS secara lebih dekat.

Jika saudara mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanya kepada ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila hantarkan soalan saudara ke sembangnaibpresidenPAS@gmail.com. Pemilihan soalan pembaca adalah bergantung keistimewaan soalan dan juga budi bicara pengelola kolum ini.

No comments

Powered by Blogger.