Tekanan Tiga Serangkai KDN Babitkan Suara Keadilan, Harakah, The Rocket

Oleh Rusnizam Mahat & Fazli Othman

SHAH ALAM 14 Julai - Selepas menggunakan pelbagai ruang untuk menyekat penebitan akhbar rasmi KEADILAN, Suara Keadilan dan akhbar rasmi PAS, Harakah dengan pelbagai ugutan dan tekanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekali lagi meneruskan sikap bacul mereka dengan menekan akhbar suara rasmi DAP, The Rocket pula.

The Rocket menerima dua surat tunjuk sebab dari pihak KDN atas alasan parti itu telah melanggar syarat permit penerbitan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang telah tamat tempoh sah laku pada 30 Jun lepas.

Permit akhbar DAP edisi versi Melayu berakhir pada September depan manakala versi Cina telah luput pada November tahun lalu.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata DAP telah menghantar permohonan untuk memperbaharui permit setahun yang lalu iaitu pada 10 Julai 2009.

"Selepas kita menghantar kelulusan tersebut, kita hanya menerima kelulusan untuk akhbar edisi bahasa Malaysia pada 10 Jun 2010 yang mana selepas hampir setahun baru kami diberitahu permit itu diluluskan tetapi malangnya pada September tahun ini akan tamat.

"Manakala untuk edisi bahasa Cina dan bahasa Inggeris masih tidak lagi diluluskan sehingga sekarang," kata Tony pada sidsang media di parlimen hari ini.

Menurutnya, awal minggu depan Jawatankuasa Pusat DAP akan bermesyuarat berhubung tindakan seterusnya dan akan cuba membuat perjumpaan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk berbincang apakah cara terbaik untuk menyelesaikan isu permit dan penerbitan akhbar rasmi parti itu.

Dalam sidang media yang sama, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh berkata DAP mengambil serius berhubung surat yang diterima daripada KDN kerana permohonan telah dibuat untuk memperbaharui permit dan parti tidak menerima sebarang respon dari pihak KDN sehinggalah DAP membuat permohonan itu.

Petang Isnin, dua pegawai KDN melawat ibupejabat DAP di Petaling Jaya dan menyerahkan surat tunjuk sebab kepada editor Rocket - versi bahasa Cina.

Surat itu menuntut penjelasan mengapa parti itu meneruskan penerbitannya meskipun tempoh permitnya telah berakhir.

Sekiranya penjelasan yang diberikan tidak memuaskan, Rocket besar kemungkinan juga menghadapi tindakan digantung.

Sebelum ini, dua lagi organ Pakatan Rakyat, Suara Keadilan yang dimiliki KEADILAN digantung manakala Harakah yang dimiliki oleh PAS diberi dua surat tunjuk sebab.

Dalam hal yang sama, Harakah semala menjawab surat tunjuk sebab kedua daripada KDN berhubung penerbitan dan pengedaran akhbar itu yang telah tamat tempoh permit.

Pengerusi Jemaah Pengarah Harakah, Datuk Mustafa Ali dan Pengarah Urusan, Datuk Kamaruddin Jaffar dipanggil KDN kerana tetap meneruskan penerbitan akhbar itu meskipun permitnya tidak diperbaharui.

No comments

Powered by Blogger.