Tidak Merokok Antara Petua Ketua Bilal Masjidil Haram Jaga Suara

http://mstar.com.my/archives/2010/7/23/mstar_manusia_peristiwa/015896468.jpg

Ketua Bilal Masjidilharam, di Mekah, Syeikh Ali Al-Muolla bergambar berlatar belakangkan Masjid Negeri semasa mengadakan kunjungan ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) di Shah Alam, hari ini. Beliau berada di Malaysia pada 20-25 Julai ini. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Tidak merokok merupakan antara rahsia dan petua yang diamalkan oleh Ketua Bilal Masjidilharam, di Mekah Syeikh Ali Al-Muolla menjaga suaranya yang merdu dan menyentuh perasaan setiap kali mengazankan.

Beliau melalui jurubahasanya, Pengurus Besar Universiti Antarabangsa Al Madinah (MEDIU) Bahrudin A. Rahman berkata selain tidak merokok, makanan yang terlalu pedas dan berlemak serta minuman sejuk perlu dielakkan bagi memelihara suara.

"Selain itu, jangan banyak memarahi isteri," katanya berseloroh kepada pemberita selepas melawat MEDIU yang terletak di Plaza Massalam, Seksyen 9 di sini hari ini.

http://mstar.com.my/archives/2010/7/23/mstar_manusia_peristiwa/015896531.jpg

Syeikh Ali, 54, juga berkata beliau mendapati ada bilal di negara ini yang merokok sepanjang kunjungannya bersama keluarga ke Malaysia.

Semasa lawatan ini, beliau turut meluangkan masa mengazan dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Bercerita mengenai tugasan bilal pada zaman dahulu dan sekarang, Syeikh Ali berkata sebelum zaman kemajuan teknologi yang mempunyai pembesar suara, bilal Masjidilharam akan mengazan berganti-ganti di enam menara masjid itu.
Syeikh Ali Al-Muolla menjawab pertanyaan wartawan semasa sidang media.

"Sebab itulah, bilal pada zaman dahulu dipilih berdasarkan mereka yang mempunyai suara yang kuat," katanya sambil menambah pada ketika itu ada kira-kira 24 orang bilal berbanding kini 14 orang.

Mengenai perbezaan cara mengazan, Syeikh Ali berkata biasanya di Mekah bilal mengazan dengan menggunakan suara yang kuat dan jelas manakala di Madinah bilal lebih gemar bermain dengan lenggok dan lagu ketika mengazan.

Sementara itu, MEDIU yang dibuka pada 2007 menawarkan pengajian secara maya dan mempunyai penuntut dari serata dunia merangkumi kursus peringkat Sarjana Muda dan Sarjana Muda Ilmu-ilmu Sains Islam, Bahasa Arab dan Teknologi Maklumat.

Pengerusi Majlis MEDIU ialah Putera Dr Bandar Salman Muhammad Al Saud yang juga merupakan Penasihat kepada dua Masjid Suci itu.

Anggota Majlis universiti itu terdiri daripada Imam dan Jurucakap Masjid Nabawi Dr Abdul Bari Awwadh Al Thubaiti dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia Datuk Dr Zulkifli A. Hassan. - BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.