Tuduhan palsu menteri boleh jejaskan pelancongan di Paya Indah Wetlands

DENGKIL – 22 Jul – Tuduhan palsu yang dilemparkan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen kelmarin terhadap Paya Indah Wetland kini tiada daya tarikan semulajadi kesan daripada aktiviti perlombongan pasir di Kampung Olak Lempit, Kuala Langat nyata tidak berasas sama sekali.

Sekiranya kenyataan sebegini dibiarkan berleluasa kelak boleh menjejaskan industri pelancongan di Selangor khususnya jumlah pengunjung ke Paya Indah Wetlands ini.

Bagi mendapatkan kesahihan dakwaan tersebut, krew TV Selangor siang tadi membuat tinjauan ke Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands bagi mendapat gambaran sebenar.

Kami mendapati keadaan di situ agak lenggang kerana tiada pelancong mengunjunginya. Kami dimaklumkan petugas kaunter penerangan Paya Indah Wetlands yang enggan dikenali memberitahu kebiasaannya hanya pada hujung minggu sahaja taman rekreasi menerima pengunjung yang ramai.

Walau bagaimanapun kami dingatkan supaya tidak membuat liputan melepasi palang yang disediakan berikutan kawasan terbabit adalah kawasan larangan kepada pengunjung.
Krew kami agak hampa apabila laluan-laluan “panas” ke sempadan taman rekreasi menghubungkan tapak perlombongan Kumpulan Semesta Sdn Bhd di Kg Olak Lempit ditutup bagi menghalang pihak media membuat liputan dengan lebih dekat lagi.

Kami cuba menghubungi pegawai Perhilitan yang bertanggungjawab tetapi tidak mendapat jawapan.

Kami diberitahu mereka sedang bermesyuarat bersama Ketua Setiausaha dari Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar membincangkan hala tuju taman rekreasi terbabit selepas Kementerian Pelancongan tidak lagi berminat untuk mempromosikannya kelmarin.

Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands disiapkan pada tahun 2001, tetapi terpaksa ditutup pada awal tahun 2005 akibat kelemahan pengurusan. Taman rekreasi tersebut dibuka semula pada tengah tahun 2008 di bawah pengurusan Jabatan Perhilitan.

Meskipun taman ini mempunyai kemudahan penginapan namun ia tidak dibuka kepada umum kerana ia dikhususkan untuk bagi penganjuran program-program agensi kerajaan dan syarikat sahaja.

No comments

Powered by Blogger.