Umno Bukit Bendera, Arau diarah sidang sebelum 31 Julai

KUALA LUMPUR, 21 Julai — Umno bahagian Arau dan Bukit Bendera diarah mengadakan persidangan perwakilan masing-masing sebelum penghujung bulan ini, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya beliau difahamkan bahawa Umno Bahagian Arau akan mengadakan mesyuaratnya Sabtu ini manakala Bukit Bendera pula Sabtu depan.

“Kedua-dua bahagian itu telah diberi masa sehingga 31 Julai ini untuk melaksanakan mesyuarat mereka,” kata beliau kepada Bernama.

Persidangan Perwakilan Umno Bukit Bendera yang dijadual berlangsung 11 Julai bagi memilih jawatankuasanya termasuk ketua bahagian yang baru, ditangguhkan sehingga akhir bulan ini.

Setiausaha Umno negeri, Datuk Azhar Ibrahim berkata mesyuarat Umno bahagian berkenaan terpaksa ditangguhkan berikutan masalah lokasi mesyuarat yang tidak diselesaikan mengikut tempoh sepatutnya.

Sehingga kini, kata Tengku Adnan 189 daripada 191 bahagian telah pun menyelesaikan mesyuarat masing-masing dengan lancar.

Menurutnya antara usul yang paling banyak dibentang dan dibincangkan dalam mesyuarat Umno bahagian di seluruh negara ialah Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

“Sudah pastilah antara perkara yang berkaitan dengan RMK-10 dan MBE yang dibincangkan ialah mengenai kepentingan orang Melayu,” katanya.

Tengku Adnan berkata anggota-anggota parti turut membincangkan langkah menyelesaikan masalah dalaman bahagian masing-masing serta isu memastikan anggota tetap mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13. — Bernam

No comments

Powered by Blogger.