Wartawan antara disoal berhubung kes Raja Petra

SHAH ALAM, 6 Julai – Ahli politik, editor dan wartawan adalah antara yang akan dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan berhubung kes pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, yang menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Bakri Zinin berkata mereka akan dipanggil dalam tempoh terdekat ini berdasarkan laporan polis yang dibuat di Petaling Jaya dan di Brickfields pada Ahad lepas mengenai kewujudan beberapa pihak yang didakwa melindungi Raja Petra.

“Kita akan mulakan dengan merekod kenyataan beberapa wartawan bermula minggu ini,” katanya kepada pemberita selepas upacara menerima 24 kereta curi yang diseludup dari negara ini dan dirampas oleh kastam Dubai.

Bakri berkata semua pihak perlu faham bahawa polis perlu mengikut prosedur dan undang-undang dalam melakukan tindakan terutamanya apabila melibatkan Negara lain dalam kes berkaitan Raja Petra.

“Kita sentiasa melakukan tindakan dan semuanya mengikut prosedur, ada yang salah di negara ini, tidak salah di negara lain. Jadi tidak bolehlah kata tiada tindakan yang diambil oleh pihak polis,” katanya.

Raja Petra dipercayai melarikan diri ke luar negara selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, melalui portal berita Malaysia Today.

Terdahulu, Bakri menerima 24 kenderaan yang dicuri itu untuk diserahkan kepada pemilik masing-masing di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan.

“Kesemua kenderaan ini dibawa keluar melalui jalan laut iaitu dari Pelabuhan Klang,” katanya. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.