Zulkifli Nordin, kehilangan yang amat sukar dicari ganti untuk Pakatan Rakyat

Saya membaca laporan berita mengenai pengakuan Zulkifli Nordin bahawa semasa berada di dalam PKR, beliau banyak melakukan pendustaan dan penipuan berita dengan bertujuan untuk memburukkan-burukkan Umno. Salah satunya ialah pengakuan bahawa beliau berbohong kononnya Anwar diracuni arsenik semasa di dalam tahanan.

Beberapa bulan yang lepas, saya menganggap pemecatan Zulkifli Nordin sebagai tidak merugikan Pakatan Rakyat, malah ianya suatu 'good riddance' (bagus hilang). Tetapi sejak akhir-akhir ini selepas membaca laporan-laporan berita berkaitan pengakuan Zulkifli Nordin mengenai aktiviti-aktiviti beliau semasa di dalam PKR, ia mengubah pandangan saya sama sekali. Saya sekarang menganggap pemecatan Zulkifli Nordin sebagai suatu kehilangan yang amat besar kepada Pakatan Rakyat. Individu seperti Zulkifli Nordin jika dibantu dengan dana Umno akan memberi kekuatan yang luar biasa kepada Umno untuk memporak-perandakan Pakatan Rakyat. Ini sungguh membimbangkan saya. Sesungguhnya satu di dalam seribu pun susah untuk menemui manusia seperti Zulkifli Nordin ini. Kenapa saya berpendapat sedemikian?

Untuk memahami perkara ini, saya terpaksa mendedahkan sedikit keburukan diri saya sendiri ini. Semasa gerakan reformasi pada tahun 1998 sedang rancak, saya berumur awal 20-an dan berasa sangat geram dan marah kepada Umno. Saya mempunyai kemahiran dalam Photoshop, Corel Draw dan bermacam-macam software yang membolehkan saya superimpose, fabricate dan memalsukan bermacam-macam gambar, surat dan sebagainya untuk memburuk-burukkan pemimpin Umno. Tetapi saya tidak pernah melakukan penipuan dan pendustaan tersebut kerana ia seperti membunuh 'nafs' (soul) saya sendiri.

Saya terpaksa mendedahkan di sini bahawa pada zaman tersebut, di samping melayari laman web pro-reformasi, saya juga melayari laman web lucah. Saya juga tidak pernah genap sembahyang 5 kali sehari dan pada waktu siang, saya keluar dengan teman wanita untuk menonton wayang dan kami berpegang-pegangan tangan. Secara ringkasnya, saya menganggap diri saya sangat teruk dan seperti seorang jahiliyah. Namun begitu, saya tidak sanggup untuk berdusta dan berbohong di dalam Internet untuk memburuk-burukkan Umno. Jika saya melakukannya, boleh jadi saya tidak boleh tidur dua hari dua malam kerana ia menganggu hati sanubari saya.

Apabila teringat zaman di mana saya tidak cukup sembahyang, gemar melayari laman web lucah tetapi masih tidak boleh mencipta pendustaan untuk memburuk-burukkan Umno, saya sekarang menganggap Zulkifli Nordin sebagai insan yang luar biasa. Kekuatan sebegini amat diperlukan di dalam operasi perisikan dan propaganda. Kebiasaannya manusia yang tidak percaya kepada Tuhan dan tidak mempunyai agama yang sanggup melakukan kerja-kerja begini. Mereka ini boleh melakukan tugasan yang diberi tanpa rasa bersalah. Insan seperti Zulkifli Nordin adalah suatu aset yang sangat besar dan penting kerana beliau boleh melakukan kerja propaganda yang dianggap tidak bermoral oleh majoriti manusia (termasuk orang bukan Islam) tetapi beliau mempunyai imej seorang yang kuat beragama.

Tahap keberkesanan propaganda di dalam kalangan masyarakat Melayu boleh dipengaruhi oleh imej agama seperti yang dibawa oleh Zulkifli Nordin ini. Inilah alasan sebenar kenapa Umno sangat teringin untuk memiliki Zulkifli Nordin. Di dalam Umno sendiri pun amat sukar untuk mencari insan seperti Zulkifli Nordin ini. Pemimpin Umno yang mengunjungi kelab dangdut dan disko pun belum tentu boleh membuat kerja 'kotor' seperti Zulkifli Nordin ini, iaitu mengikut arahan ketua untuk berbohong mengenai perkara-perkara yang amat serious seperti memfitnah pihak lawan dengan kes jenayah, meracun arsenik dan sebagainya. Saya rasa Anwar Ibrahim mesti mencari pengganti kepada Zulkifli Nordin dengan kadar segera.

http://expet.blogspot.com/2010/07/zulkifli-nordin-kehilangan-yang-amat.html

No comments

Powered by Blogger.