Bina blog yang menawan hati pembaca

RAMAI di antara kita yang menulis blog dan membaca blog orang lain. Pernahkah kita terfikir mengapa sesebuah blog itu menerima banyak pelawat dan dibaca oleh ratusan individu setiap hari, sementara blog anda, yang juga sama menarik tulisannya, hanya berjaya menarik perhatian segelintir pembaca sahaja?

Bagaimana hendak menawan hati pembaca? Kami berikan beberapa panduan minggu ini.

GUNAKAN SENI REKA BLOG YANG UNIK

Jangan malas! Ramai penulis blog berpuas hati dengan seni reka blog yang dimuat turun bulat-bulat daripada laman percuma. Ini bukannya salah tetapi anda perlu mengubah warna dan banyak lagi ciri seni reka blog ini supaya ia kelihatan unik. Tiada sesiapa yang ingin menghabiskan masa di sebuah blog yang hambar. Anda juga boleh membeli sahaja seni reka blog yang unik. Gunakan Google untuk mencari seni reka blog percuma atau perlu bayar.

SERTAI MASYARAKAT BLOG

Masyarakat blog adalah gugusan beraneka jenis blog yang kerap diperiksa oleh peminat untuk mendapatkan maklumat tentang blog popular atau maklumat baru. Biasanya, keanggotaan ke dalam masyarakat blog seperti ini adalah percuma dan ia mudah dicari di dalam talian.

Beberapa contoh adalah Blogged, MyBlogLog dan FuelmyBlog. Apabila anda berbuat demikian, anda menonjolkan kewujudan anda dalam sesebuah masyarakat dan ini akan mengundang lebih ramai individu untuk memeriksa blog anda. Dan oleh kerana individu yang berbuat demikian adalah peminat blog dan bukan pembaca rambang, mereka akan melanggan blog anda jika ia didapati menarik.

TULIS ARTIKEL PANDUAN YANG MALAR SEGAR

Elak menulis sesuatu artikel yang hanya sesuai dibaca dalam konteks hari tertentu sahaja. Tulis blog yang boleh dinikmati atau digunakan kandungannya lama selepas ia ditulis.

Contohnya, tulis blog mengenai cara-cara anda membasmi spam atau 10 panduan membersihkan papan kekunci anda. Topik-topik seperti ini menarik pembaca dan berguna pada bila-bila masa.

MENJADI PENULIS TAMU DI BLOG YANG LEBIH TERKENAL

Ramai penulis blog popular mengetepikan sedikit ruang untuk penulis tamu. Tentu sekali, kandungan tulisan anda perlu sejajar dengan kandungan blog tersebut dan anda perlu membuktikan tulisan anda bermutu dan layak diterbitkan. Rebut peluang seperti ini jika ia timbul kerana ia satu cara untuk anda mendedahkan tulisan anda kepada lebih ramai pembaca dan lebih penting lagi, ia percuma!

TAWARKAN MUAT TURUN PERCUMA

Janjikan sesuatu yang percuma untuk dimuat turun pembaca yang melawat blog anda. Anda mungkin pernah menulis novel atau sajak atau lagu. Jika sesuai, tawarkan bahan-bahan ini sebagai hadiah kepada pelawat anda. Tiada sesiapa yang tidak gemarkan sesuatu yang percuma dan berbuat demikian menunjukkan bakat anda yang luas.

KERAP KEMAS KINI

Usah harapkan ramai pembaca jika anda hanya menulis blog sekali-sekala sahaja. Penulis blog yang menerbitkan kandungan segar hanya seminggu sekali tidak akan dapat menarik ramai peminat yang inginkan kandungan baru hampir setiap hari. Anda tidak perlu menerbitkan tulisan yang panjang jika anda sibuk. Anda hanya perlu menulis sesuatu yang ringkas dan padat, pada hari biasa, misalnya, dan mengimbanginya dengan tulisan yang lebih panjang pada hujung minggu atau apabila anda ada masa.

KAITKAN DENGAN BLOG LAIN

Satu cara yang baik untuk anda menonjolkan blog anda adalah dengan mengaitkan blog anda dengan penulis blog lain. Cara ini mendedahkan alamat blog anda kepada pembaca blog yang lain itu. Tentu sekali anda perlu meminta kebenarannya dan biasanya, perlu mengaitkan blog penulis tersebut di blog anda juga.

MULAKAN HALAMAN FACEBOOK

Gunakan laman rangkaian sosial seperti Facebook untuk menguar-uarkan blog anda. Kaedah ini mendedahkan blog anda kepada berjuta-juta pengguna tanpa kos tambahan. Anda juga boleh mengundang kenalan anda di Facebook supaya membaca blog anda. Anda juga boleh menerbitkan butang Facebook di blog anda, supaya senang si pembaca melawat laman Facebook daripada blog anda atau sebaliknya.

BINA AKAUN TWITTER BARU

Mungkin anda tidak mahu memulakan halaman Facebook yang memerlukan perhatian kerap. Mengapa tidak mencuba Twitter? Anda boleh menggunakan khidmat blog mikro ini untuk mengiklankan setiap tulisan terbaru di blog anda.

Cara ini berkesan, lebih-lebih lagi apabila seseorang pengguna lain berkongsi alamat blog anda dengan rakan-rakannya. Bahkan, anda juga boleh menerbitkan gambar yang anda gunakan di blog anda di laman Twitter anda.

No comments

Powered by Blogger.