Ditimbulkan kontroversi Teo Nie Ching untuk mengalih perhatian umum

Umum dikejutkan dengan keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan yang mengarahkan agensi kerajaan Felda (yang ditubuh bapa Perdana Menteri sekarang) membayar para peneroka RM11 juta kerana menipu peneroka berkenaan berhubung gred buah kelapa sawit.

Dengan penghakiman pada 26 Ogos itu, peneroka seramai 354 orang itu dijangka menerima RM25,000 hingga RM30,000 setiap seorang.

Keputusan tersebut juga mempunyai implikasi besar ke atas Felda dan kerajaan kerana ia akan menyaksikan lebih banyak saman difailkan. Ianya juga mengugat kepercayaan sebelum ini bahawa penubuhan agensi kerajaan itu bagi meningkatkan kebajikan masyarakat bumiputera dengan menaikkan taraf hidup mereka sebenarnya mempunyai kepincangan.

Walau bagaimanapun, bagi menjawab persoalan ini, Najib Razak memberitahu, kekalahan Felda di dalam rayuan tersebut atas ketidakhadiran peguam yang mewakili Felda.

Ketika persoalan demi persoalan dalam membincangkan ketelusan pihak Felda dalam membayar tuntutan, dan sekatan demi sekatan media yang dilakukan, kontroversi ahli parlimen Serdang pula timbul. Isu inilah akhirnya menjadi peluang terbaik bagi Najib dan barisan pimpinannya -- termasuk Utusan Malaysia sebagai agen sebaran -- untuk menutupi atau sekurang-kurangnya mengalih pandangan rakyat, khususnya Melayu, dalam terus membincangkan isu Felda ini.

Tepat jangkaan aku.

Utusan meletakkan gambar Teo Nie Ching di muka depan keesokan harinya (Ogos 27) dengan tajuk 'Tindakan tegas jemput bukan Islam - JAIS'.

Pada 28 Ogos pula, penulis rencana pengarang mereka, Awang Selamat telah terbitkan satu lagi rencana 'Bisik-bisik'nya yang menyebut bahawa tindakan Nie Ching boleh mengguris perasaan umat Islam. Awang mendakwa wakil rakyat tersebut telah menggunakan ruang sembahyang surau untuk mencari pengaruh atau sokongan. Awang juga pernah bertanggungjawab menerbitkan rencana berbau perkauman sehingga ahli parlimen Seputeh Teresa Kok ditahan di bawah ISA.

Nie Ching mohon maaf

Akibat daripada itu, Nie Ching telah mengeluarkan kenyataan beliau meminta maaf kepada Sultan Selangor mengenai perkara ini.

Jelas Teo, beliau selaku Ahli Parlimen Serdang telah mengunjungi surau Al-Huda di Kajang Sentral untuk menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kerajaan negeri untuk memperbaiki pagar surau dan berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa dan jemaah surau.

"Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor," kata wakil rakyat DAP itu.

Terdahulu, pengerusi DAP Selangor Ean Yong Hian Wah dalam kenyataannya menggesa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) membuat siasatan lebih terperinci sebelum mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak berhubung isu ini.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya kesal dengan tindakan MAIS ke atas Teo dan juga terhadap ahli jawatankuasa surau berkenaan.

Ean Yong berkata, beliau tidak mahu isu terbaru ini dipermainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti Utusan Malaysia, Umno dan Perkasa sebagai "satu isu politik dan perkauman untuk merosakkan keharmonian masyarakat kita."

Hukum dan perbandingan

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohammed Khusrin Munawi, melalui laporan media berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap jawatankuasa surau Al-Huda sekiranya didapati benar mengundang ahli politik daripada kalangan bukan-Islam untuk mengadakan majlis serta menyampaikan ceramah dalam dewan solat surau. Beliau juga menyebut bahawa tindakan membenarkan orang bukan-Islam sama ada ahli politik dan sebagainya memasuki ruang solat adalah tidak dibenarkan sama sekali dan menyalahi dari segi hukum.

Kita rujuk kepada dalil:

Allah berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis, sebab itu janganlah mreka menghampiri Al-Masjid Al-Haram (di Makkah) sesudah tahun ini, Jika kamu takut jatuh miskin, nanti Allah akan melindungi kekayaan kamu dengan kurniaNya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (At-Tawbah 9: 28)

Dan Allah berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu sembahyang, ketika kamu sedang mabuk kecuali jika kamu telah mengetahui apa-apa yang kamu katakan dan jangan pula sedang junub (sudah bergaul dengan isterimu), kecuali melalui kalan (tempat sembahyang, sehingga kamu mandi lebih dahulu." (An-Nisaa' 4: 43)

Menurut Sheikh `Atiyyah Saqr, mantan ketua jawatankuasa fatwa Al-Azhar, memang benar 'polytheists' (seorang yang percaya terhadap kewujudan tuhan lebih daripada Satu) tidak dibenarkan memasuki Masjidil Haram di Makkah tetapi tidak salah bagi penganut agama Kristian dan Yahudi. Malah, Abu Hanifah menyebut bahawa seorang polytheist pun boleh memasuki Masjidil Haram asalkan dia tidak menginap di sana.

Imam Ahmad pula mempunyai pandangan bahawa orang bukan Islam boleh memasuki masjid asalkan mendapat izin daripada umat Islam. Pandangan ini disokong oleh laporan bahawa Rasulullah (s.a.w) yang membenarkan rakyat At-Ta'if untuk tinggal di dalam masjid semasa memperkembangkan Islam. Rasulullah (s.a.w) juga menerima penganut agama Kristian dari kaum Najran di masjidnya di Madinah.

Jadi, sekiranya seseorang bukan-Islam yang meminta izin untuk memasuki masjid untuk melihat bagaimana orang Muslim menjalankan ibadah solat, dan wanitanya tidak berpakaian dalam fesyen provokatif, maka mereka dibenarkan.

Maka, berdasarkan kepada fatwa, orang bukan-Islam, termasuk Kristian dan Yahudi dibenarkan memasuki masjid, tetapi dengan syarat:

* Orang bukan-Islam dibenarkan memasuki masjid - selain daripada Masjidil Haran di Makkah - dengan keizinan dari umat Islam di situ,
* Mereka mestilah mempunyai alasan yang kukuh untuk memasuki masjid,
* Mereka sepatutnya menghormati umat Islam yang berada di dalam masjid itu dan perlu mengingati bahawa ia adalah tempat suci umat Islam,
* Kedua-dua lelaki dan perempuan tidak dibenarkan membuka awarah apabila memasuki masjid.


Menurut Dr Muzammil Siddiqi, mantan presiden Persatuan Islam Amerika Utara (Isna) dan anggota kepada Lembaga Fiqh Amerika Utara, "baik untuk kita menjemput orang bukan-Islam ke masjid dan melihat cara orang Islam bersembahyang, tetapi mereka perlulah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai peraturan-peraturan islam dan cara berpakaian terutamanya di tempat ibadah.

"Sekiranya mereka dimaklumkan terlebih dahulu dengan jujur dan ikhlas, mereka akan memahami dan menghormati peraturan tersebut. Walaubagaimana pun, sekiranya terdapat jemputan yang tidak berpakaian sewajarnya, maka berikanlah mereka sesuatu yang bersih untuk menutupi mereka sebelum mereka memasuki masjid atau dengan kecuaian ini, anda mungkin terlepas dari menyampaikan amanat Islam kepada mereka".

Ada dua pilihan

Di dalam Islam terdapat Fiqh Al-'Awlawiyyat atau memahami kepentingan. Mengikut pemahaman biasa, apabila kita berhadapan dengan dua syaitan, anda mungkin akan menerima syaitan yang kurang bahayanya bagi menghindari satu lagi dan mencapai sesuatu yang lebih baik.

Di dalam kes ini, kita berhadapan dengan pilihan, sama ada kita mengabaikan seorang bukan-Islam dari tempat ibadat kita atau biarkan mereka tidak mempelajari Islam dan mempunyai pandangan buruk terhadap Islam dan umatnya, atau membenarkan dia masuk, sungguhpun dengan pakaian yang sopan dan kemudiannya mempelajari Islam dan berkemungkinan jatuh cinta dengan agama Islam.

Selepas melihat sendiri dalil dan perbandingan, lihat sahaja lawatan Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, ke masjid suatu ketika dahulu. Beliau hanya berpakaian tudung yang memperlihatkan rambut dan para jemputannya ada yang tidak mengikuti peraturan memasuki masjid.

Sekiranya, perkara ini cuba dipolitikkan sesetengah pihak, adakah perbuatan Nie Ching itu salah jika dibuat perbandingan? Dan sekiranya benar Nie Ching memasuki perkarangan masjid, bukankah kita patut bersyukur, dan bukannya ditempelak sebegitu rupa.

Bagi negara-negara luar yang memasyhurkan keunikan agama mereka, tempat-tempat ibadah menjadi tumpuan pelancong. Aku sendiri pernah melawat beberapa tempat ibadah dan mereka menghormati pegangan agama aku dan aku juga menghormati cara mereka beribadah. Aku tidak dihalau bahkan tidak disergah.

Harapan aku agar Umno dan Utusan Malaysia cuba berhati-hati dalam mempermainkan isu kaum dan agama kerana akhirnya ia akan memakan bangsa sendiri.

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.