Dr Gigi Tak Pandai Kira-kira

Isu bonus: Dr Khir ‘cetek ilmu’, kata pegawai MB Selangor

Bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sekali lagi membuktikan ketakupayaan dan cetek ilmu pengetahuan sehingga mempertikaikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang memutuskan untuk menolak insentif RM100,000 yang hendak dibayar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Khalid dilaporkan memutuskan untuk menolak pemberian insentif RM100,000 oleh PKNS atas kapasitinya sebagai pengerusi agensi itu.

“Kenyataannya (Dr Khir) berhubung bonus dan insentif yang ditolak Menteri Besar menunjukkan beliau tidak mampu membezakan antara organisasi korporat dan kerajaan.

“Ini tidak menghairankan memandangkan pentadbiran yang baik tidak diamalkan sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Menteri Besar,” kata Setiausaha Politik kepada Khalid, Faekah Husin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Faekah berkata, ketika Khalid berkhidmat di Permodalan Nasional Berhad dan Kumpulan Guthrie, beliau merupakan eksekutif sepenuh masa di mana berhak menerima bonus dan faedah istimewa oleh pemegang saham dua syarikat berkenaan.

“Bagaimanapun, sebagai Menteri Besar, kedudukannya dalam semua syarikat berkaitan kerajaan negeri merupakan jawatan bukan eksekutif, bererti tiada hak untuk mendapat faedah istimewa berbentuk kewangan seumpama itu,” katanya.

Semalam, Dr Khir dipetik sebagai berkata terpulang kepada Menteri Besar mahu menerima insentif sebagai pengerusi PKNS.

Kata Dr Khir, Khalid sepatutnya mengarahkan Pengurus Besar PKNS Othman Omar meletak jawatan sekiranya tidak bersetuju dengan pemberian insentif itu.

Kata bekas menteri Besar itu Othman merupakan individu yang bertanggungjawab mengeluarkan insentif tersebut.

Beliau juga memberitahu, pemberian insentif itu bukan perkara baru dan dilakukan oleh mana-mana syarikat yang menerima keuntungan.

Maka kata Dr Khir, pemberian insentif itu telah dimulakan sejak kepimpinan bekas menteri Besar Datuk Harun Idris.

Oleh itu beliau menambah, Khalid yang pernah menjadi pengerusi beberapa GLC sebelum dilantik jadi Menteri Besar pernah menerima insentif seumpama itu.

Dalam kenyataannya, Faekah berkata, kemungkinan Dr Khir tidak sedar bahawa jika seseorang memegang jawatan bukan eksekutif, tidak bermakna beliau bekerja untuk syarikat berkenaan.

Jika beliau tidak mengetahui perkara itu, kata Faekah, beliau ingin memaklumkannya bahawa seseorang yang memegang jawatan bukan eksekutif sekadar mewakili pemegang saham untuk memantau kebajikan syarikat.

“Menteri Besar tidak diwajibkan memegang kedudukan bukan eksekutif dalam syarikat yang dimiliki secara langsung atau tidak langsung oleh kerajaan negeri.

“Sehubungan itu, faedah istimewa hanya boleh diberikan jika diluluskan Exco Negeri.

“Dalam keadaan seumpama itu, MB tidak akan menghadiri mesyuarat berkenaan disebabkan oleh konflik kepentingan,” katanya.

Faekah menjelaskan, Khalid bercadang untuk merujuk isu itu kepada Dewan Negeri Selangor bagi membolehkan semua wakil kerajaan negeri berdebat sama ada bukan eksekutif berhak menerima faedah istimewa dan bonus serupa dengan eksekutif dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri.

“Sebagai Menteri Besar ketika itu, Dr Khir tidak sepatutnya mengambil kesempatan atas kedudukannya dan menerima faedah istimewa seperti bonus serta insentif.

“Walaupun Tan Sri Khalid tiada alasan politik untuk menolak faedah istimewa yang ditawarkan kepadanya sebagai pengerusi di dalam pelbagai syarikat berkaitan kerajan negeri tetapi sebagai Menteri Besar di bawah kerajaan Pakatan Rakyat, beliau enggan untuk meneruskan amalan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu,” katanya.

Sebagai kerajaan yang menegakkan ketelusan dan kebertanggungjawaban, jelas beliau, kerajaan Pakatan Rakyat percaya bahawa rakyat mesti dimaklumkan mengenai faedah istimewa dan bonus yang diberikan kepada wakil mereka yang memegang jawatan bukan eksekutif dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri.

“Umno boleh terus mewajarkan keputusan serta polisi tidak jujur yang telah mereka amalkan sejak 53 tahun lalu, tetapi saya ingin mengingatkan mereka bahawa rakyat kini lebih berpengetahuan dan tidak akan teragak-agak menghukum pemimpin yang menyalahgunakan kuasa mereka untuk kepentingan peribadi.

“Dalam Islam bukan saja niat perlu betul, tetapi jalan yang digunakan, matlamat dan cara juga mesti mesti,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.