Imam: Umat Islam New York sedia bincang alih tapak masjid

MIAMI, 10 Sept — Imam dari New York yang terlibat dalam rancangan membina pusat kebudayaan Islam bersama masjid berhampiran tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC) bersedia untuk memindahkan projek itu ke lokasi lain bagi mengelakkan kontroversi, kata pemimpin Islam Florida semalam.

Kontroversi projek pembinaan itu muncul seiring pelan Pastor Terry Jones yang mahu membakar al-Quran sempena ulang tahun kesembilan serangan 11 September ke atas WTC.

Ulang tahun kali ini secara kebetulan jatuh ketika umat Islam mula merayakan Aidilfitri.

“Saya fikir beliau sedang mempertimbangkan,” kata Imam Muhammad Musri, ketua Islamic Society of Central Florida kepada CNN.

Dipetik Reuters, Muhammad berkata beliau ada bercakap dengan isteri imam New York Feisal Abdul Rauf mengenai usaha itu.

Muhammad bercakap kepada pemberita selepas Jones, yang mengetuai gereja kecil Dove World Outreach Center di Gainesville, Florida, membatalkan rancangannya mahu membakar al-Quran esok.

Katanya, satu kata sepakat telah dicapai melibatkan rancangan membina pusat tersebut berhampiran tapak WTC.

“Kami telah menerima komitmen daripada pejabat imam untuk diadakan pertemuan membabitkan saya dan pastor... akan terbang ke New York untuk bertemu dengan beliau bagi membincangkan pelan... atau memindahkan tapak pembinaan itu ke lokasi ideal yang lain, yang tidak berkontroversi,” kata Muhammad.

Muhammad mengakui tiada jaminan bertulis lagi.

Terdahulu Feisal menafikan sudah ada perjanjian seumpama itu. — Reuters

No comments

Powered by Blogger.