Kementerian Pengajian Tinggi Nasihat Mahasiswa Hati-Hati Guna Facebook

JOHOR BAHRU: Kementerian Pengajian Tinggi menasihatkan mahasiswa supaya berhati-hati menggunakan laman sosial Facebook dan memastikan maklumat yang dikongsi tidak memudaratkan mereka.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini kerana laman sosial itu boleh dilihat sebagai 'menelanjangkan' cerita peribadi seseorang.

Selain itu, kegilaan menggunakan laman sosial itu untuk berinteraksi pada kalangan masyarakat sekarang juga boleh disalah guna pihak tidak bertanggung jawab untuk menyamar sebagai individu tertentu, katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

"Mudah bagi Facebook disalah guna atau melakukan penyamaran yang bukan sahaja kini melibatkan Tunku Mahkota Johor malahan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Beliau yang juga salah seorang pengguna Facebook, bagaimanapun berkata sehingga kini tidak berdepan dengan masalah itu dan pelajar universiti yang menggunakan laman itu untuk berinteraksi dengannya juga masih berdisiplin dan menghormatinya sebagai seorang menteri.

Kes penyamaran menerusi Facebook yang dikesan baru-baru ini melibatkan antaranya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui beberapa akaun termasuk "Diari Harian Tunku Mahkota Johor", "Tengku Ismail" dan "Tunku MahkotaJohore (Penasihat Utama TMJ)".

Semalam, Dr Chua dilapor berkata terdapat sesekurang-kurangnya empat akaun Facebook palsu atau tidak rasmi dibuka menggunakan namanya.

Selain tokoh tertentu, tidak ketinggalan menjadi mangsa akaun palsu ialah beberapa syarikat besar termasuk Syarikat Bekalan Air Selangor. - BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.