Ku Nan jawab Perkasa, Penawar: Kenapa saya mesti minta maaf

Oleh G Manimaran


KUALA LUMPUR, 21 Sept – Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan tidak timbul soal beliau perlu meminta maaf berhubung gesaan beberapa pihak berkaitan kenyataannya terhadap Perkasa sebelum ini termasuk bahawa Umno dan BN perlu menjauhkan diri.

“Kenapa saya mesti minta maaf (kepada Perkasa),” kata Setiausaha Agung Umno ini hari ini.

“Bukan sahaja presiden penawar, tetapi juga setiausaha agung Perkasa minta saya meminta maaf, dan jika tidak mahu saya dipecat.

“Barangkali mereka keliru dengan apa yang saya sebutkan, terutama pertama, mereka kena ingat bahawa saya orang Melayu, beragama Islam, dan saya mempertahankan perjuangan saya untuk bangsa saya, dan Umno dari dulu, kini dan selamanya tetap akan mempertahankan hak orang Melayu.

“Tiada sebab agensi, institusi atau orang lain yang hendak mendabik dada kononnya nak memperjuangkan hak bangsa orang Melayu,” kata beliau lagi.

Kata Tengku Adnan, pendirian beliau adalah tetap di mana Umno dan BN tidak akan mendekati mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang walaupun telah diberikan penjelasan tetapi terus mengherdik parti itu.

“Jadi takkanlah kita nak bersama orang yang memusuhi kita,” kata beliau yang juga Setiausaha Agung BN dalam temu bual dengan Umno Online.

Semalam, Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat Umno (Penawar) mendesak Umno agar bekerjasama dengan Perkasa dan badan-badan bukan kerajaan Melayu lain yang memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera.

Keputusan itu diambil oleh Dewan Tertinggi Penawar di sebalik pandangan bahawa Umno dan BN harus menjauhkan diri daripada Perkasa jika tidak mahu sokongan pengundi dalam pilihan raya umum ke-13 terhakis.

Presiden Penawar Tan Sri Adam Kadir berkata, pihaknya juga duka cita dengan kenyataan Tengku Adnan berhubung isu Perkasa.

“Kami amat berdukacita dengan kenyataan dan sikap Datuk Seri Tengku Adnan selaku Setiausaha Agung Umno yang mengutuk Perkasa dan NGO Melayu sebagai rasis apabila mereka memperjuangkan dan mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera,” kata beliau.

Kata Adam, Dewan Tertingi Penawar juga menuntut beliau agar memohon maaf kepada Perkasa dan NGO-NGO Melayu.

“Sekiranya enggan berbuat demikian, kami menuntut supaya Umno memecat beliau sebagai Setiausaha Agung Umno,” kata Adam.

Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali juga menggesa Tengku Adnan dipecat.

No comments

Powered by Blogger.