Lelaki dipercayai suspek utama dibawa ke saluran air untuk cari bukti

BANTING, 23 Sept — Seorang lelaki, yang dipercayai suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain sekali lagi dibawa ke sebuah saluran air di sini, dipercayai bagi mencari bahan bukti baru kes itu.

Pasukan forensik dilihat membawa suspek, yang berpakaian lokap berwarna ungu dengan tangan bergari, ke sebuah saluran air yang menghubungkan tali air Kampung Sungai Lang di sini kira-kira pukul 10.30 pagi ini.

Mereka kemudiannya meninggalkan lokasi itu dua setengah jam kemudian, dengan tidak menemui sebarang objek atau bahan bukti.

Kelmarin, suspek berusia 41 tahun itu turut dibawa polis ke lokasi sama dipercayai bagi mencari petunjuk baru kes pembunuhan itu.

Sosilawati, 47, pemandu peribadinya Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.