Messi kembali tunjuk belang


BARCELONA - Lionel Messi meledakkan dua gol untuk membantu Barcelona bangkit daripada ketinggalan sebelum membelasah Panathinaikos 5-1 pada aksi Kumpulan D Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Tiga hari selepas dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada Hercules pada aksi Liga Sepanyol, Barcelona mempamerkan aksi sebenar di Stadium Camp Nou hasil kecemerlangan Messi.

"Mereka (Barcalona) sukar untuk disekat dan mereka mampu melangkah ke final," kata penjaga gol Panathinaikos, Alexandros Tzorvas.

"Sukar untuk membuat perbandingan antara mereka dan pasukan lain."

Messi, 23, beraksi dengan cemerlang iaitu sama seperti ketika dia meledakkan empat gol ketika Barcelona membelasah Arsenal di Nou Camp musim lalu.

"Dia adalah pemain terbaik di dunia dan memiliki kelebihan berbanding pemain lain," kata jurulatih Barcelona, Pep Guardiola.

"Sukar untuk dia melepaskan peluang dan dia memiliki semangat yang tinggi.

"Kami tidak banyak membazirkan masa untuk menjadikan dia lebih selesa. Dia sungguh bersemangat dan dia suka kerap berlatih sendirian."

Pada pertemuan itu, Sidney Govou meletakkan juara Greece itu di hadapan pada minit ke-20 tetapi Messi menyamakan kedudukan dua minit kemudian.

Pada minit ke-33, David Villa pula meletakkan Barcelona di hadapan sebelum Messi meledakkan gol kedua pada minit ke-45.

Begitupun Tzorvas beraksi cemerlang untuk menghalang Messi daripada melakukan hatrik pada minit ke-54.

Messi turut membantu Pedro Rodriguez menyumbat gol keempat Barcelona pada minit ke-78 sebelum dia sekali lagi menjadi penggerak utama gol kelima hasil jaringan Daniel Alves pada masa kecederaan.

No comments

Powered by Blogger.