Nik Aziz tidak hadir sebab uzur

SHAH ALAM, 6 Sept – Ketidakhadiran Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam program Qiamullail dan Solat Hajat Perdana anjuran Kerajaan Negeri Selangor di Kompleks Belia Selangor di Seksyen 7 kelmarin disebabkan masalah kesihatan yang dialami beliau.

Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, mengikut jadual sepatutnya beliau hadir ke dalam program itu kerana majlis itu telah lama dirancang.

“Tetapi atas sebab keuzuran beliau tidak dapat hadir ke program itu kerana sejak akhir-akhir ini beliau sering mengalami keuzuran.

“Perkara ini (ketidakhadiran) bukannya disengajakan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, program itu sepatutnya turut dihadiri oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi beliau juga tidak dapat hadir kerana terpaksa menghadiri program di Terengganu.

Kelmarin program anjuran Kerajaan Negeri itu hanya dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan Timbalan presiden Pas, Nasharuddin Md Isa.

Ditanya mengenai dakwaan mengatakan penganjur hanya menggunakan nama Mursyidul Am Pas untuk menarik orang ramai untuk hadir ke program itu, Roslan berkata, ia hanya khabar angin semata-mata.

“Setiap program itu selalunya dirancang lebih awal tetapi kita juga kena lihat tidak semestinya program yang dirancang itu akan dihadiri oleh tokoh-tokoh berkenaan kerana kadang-kadang mereka mempunyai keuzuran serta hal kecemasan.

“Tidak adil jika dakwaan yang mengatakan kita gunakan nama Tok Guru untuk tarik orang supaya hadir ke program itu kerana kehadiran mereka ke program itu atas sebab inisiatif mereka sendiri dan bukannya disebabkan oleh Tok Guru,” katanya.- SINARHARIAN

No comments

Powered by Blogger.