NKEA: Selangor ingin bincang dengan Idris

Oleh Rahmah Ghazali

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim ingin berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala mengenai cara kerjasama rapat dalam Bidang Utama Ekonomi Nasional (NKEA) melibatkan "Greater Kuala Lumpur" dan projek pembangunan Sungai Klang.

"Projek-projek ini sepatutnya dimasukkan ke dalam NKEA kerana Selangor telah memula langkah awal projek pembersihan Sungai Klang dengan perbelanjaan sebanyak RM50 bilion di bawah pakej rangsangan ekonomi Selangor tahun lepas," katanya.

Bercakap kepada para pemberita selepas merasmikan mesyuarat exco negeri, beliau berkata, "saya fikir adalah sesuai sekiranya projek Sungai Klang, yang disebut projek "sungai untuk kehidupan" itu yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di masukkan ke dalam NKEA."

Kedua-dua projek ini, "Greater Kuala Lumpur" dan projek pembangunan Sungai Klang, adalah sebahagian dari tujuh projek usahasama bernilai hampir RM115 bilion melibatkan kerajaan dan sektor swasta di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Di antara projek-projek ini ialah sistem kereta api laju menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura serta rancangan untuk membangunkan hab komersial dan aktiviti warisan di sepanjang Sungai Klang.

Khalid berkata, perbincangan akan tertumpu kepada "Greater Kuala Lumpur" kerana projek ini melibatkan bandar-bandar besar di Selangor seperti Petaling Jaya, Subang Jaya, Ampang Jaya dan Shah Alam.

"Kami akan berbincang bagaimana kerajaan negeri boleh bekerjasama dengan kerajaan pusat supaya kita dapat menyediakan maklumat yang positif kepada rakyat.

"Kerajaan negeri juga mempunyai rancangan pembangunan yang lain yang boleh dicantumkan dengan kerajaan persekutuan," tambahnya.

No comments

Powered by Blogger.