Pemilihan 2010 Simbol KEADILAN Sebagai Parti Tulen Pelbagai Kaum

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 22 Sept - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Saifuddin Nasution Ismail amat berpuas hati terhadap perjalanan proses pencalonan dan pemilihan di peringkat Cabang bagi Pemilihan 2010 yang mencerminkan perpaduan, kerjasama dan sikap toleransi lebih 450,000 anggota parti.

Saifuddin berkata setakat ini 84 Cabang daripada 204 Cabang telah menyempurnakan mesyuarat agung tahunan (MATC) dalam keadaan harmonis dan aman dan ini memberikan suatu gambaran tentang kekuatan parti yang mewakili setiap kaum dan negeri di negara ini.

Daripada 84 cabang yang telah mengadakan MATC, 67 Cabang pula telahpun menyaksikan pertandingan bagi merebut pelbagai jawatan dalam Cabang, sayap Wanita dan Angkatan Muda.

Sehingga kini dua calon layak bertanding bagi jawatan Presiden, iaitu penyandang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi Timbalan Presiden pula yang layak setakat ini adalah Mohamed Azmin Ali, Zaid Ibrahim, Mustaffa Kamil Ayub dan Tian Chua.

Sejumlah 15 calon layak bertanding bagi kerusi Naib Presiden iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Datuk Chua Jui Meng, Tian Chua, Fuziah Salleh, Dr Lee Boon Chye, Datuk Mansor Othman, Mohamed Azmin Ali, Mohd Yahya Mat Sahri, Mustaffa Kamil Ayub, Nurul Izzah Anwar, S Manikavasagam, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Sivarasa Rasiah, Datuk Zaid Ibrahim dan Dr Xavier Jayakumar.

Sejumlah 74 calon layak bertanding untuk jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Bagaimanapun Saifuddin tidak mengumumkan senarai itu.

Menurut beliau, calon yang layak bertanding untuk jawatan presiden, timbalan, naib presiden dan MPP membuktikan bahawa mereka mendapat perhatian daripada anggota parti di peringkat akar umbi.

"Mereka yang layak ini mewakili pelbagai negeri meliputi wilayah, kaum, dan agama di mana ia betul-betul reflektif iaitu cerminan kepada komposisi jumlah peratusan etnik anggota parti keseluruhnnya terutama kepada kelompok MPP itu sendiri," kata beliau pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat KEADILAN di Tropicana petang tadi.

Saifuddin berkata keadaan ini turut memberikan satu indikator tentang kekuatan dan kemeriahan amalan demokrasi dalam parti.

"Ia memberikan kemeriahan pesta demokrasi yang parti sediakan di peringkat akar umbi daripada Perlis sehingga ke Sabah kepada anggota parti."

Tambah beliau, ia juga memberikan satu proses pembelajaran kepada anggota parti yang menyasikan satu pemilihan yang terbuka dan bebas tanpa naungan ataupun pengaruh daripada mana-mana pihak.

"Proses pemilihan parti ini persis dan mirip seperti seolah-olah mereka menghadapi pilihan raya yang sebenar. Sebagai parti politik baru berumur 10 tahun, ia memberikan satu pelajaran yang penting untuk aktivis parti dan inilah yang saya perhatikan," katanya.

Saifuddin menambah antara perkembangan yang paling menarik dalam pemilihan kali ini ialah anggota parti yang mengundi serta bertanding terdiri daripada 50 peratus anggota Melayu, 12 peratus Cina, 23 peratus India dan 15 peratus lain-lain termasuk suku kaum Kadazan, Dusun, Dayak, Iban, Murut dan sebagainya.

Menurut Saifuddin, Selangor mempunyai jumlah keanggotaan paling ramai iaitu 108,000 atau 30 peratus daripada jumlah anggota parti.

Ini diikuti Sabah seramai 66,000, Perak 33,000, Pulau Pinang 31,000, Sarawak 22,000 dan Wilayah Persekutuan 17,000.

"Jumlah peratusan anggota parti mewakili negeri-negeri yang saya sebutkan adalah 77 peratus daripada sejumlah 450,000 anggota," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Machang.

Beliau juga memberitahu maklumat daripada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengatakan tumpuan pencalon dan pemilihan dikalangan 84 Cabang adalah di negeri Selangor.

No comments

Powered by Blogger.